mutakhir

Berhabis kumpul scrambler retro

Oleh myMetro

Alor Gajah: Siapa sangka daripada sebuah jentera yang boleh dikategorikan sebagai barang lupus, motosikal scrambler retro yang menjalani proses baik pulih boleh mencecah harga sehingga RM20,000.

Model motosikal terbabit juga pernah menjadi kegilaan golongan muda di negara ini kerana digunakan dalam filem percintaan remaja era 1980-an antaranya Gila-Gila Remaja dan Ali Setan.

Namun, bagi Mohd Nor Rajian, 35, dari Solok Gajah Mati, Sungai Petai, di sini, dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar untuk memenuhi impian memiliki jentera lasak itu.

Katanya, selepas 11 tahun, dia kini memiliki 15 motosikal scrambler pelbagai model yang dibeli daripada pemilik asal hasil jelajahnya ke seluruh pelusuk negara.

“Obses saya terhadap motosikal scrambler bermula pada 2005 hingga sanggup ke seluruh pelusuk negara membeli motosikal itu yang kebanyakannya tersadai akibat tidak dijaga dengan baik.

“Bukan mudah membeli motosikal itu kerana ada antara pemilik terbabit enggan menjual jentera mereka.

“Berikutan minat, saya sanggup tebalkan muka berjumpa berulang kali dengan pemilik motosikal bagi memujuk mereka menjual jentera itu,” katanya.

Menurutnya, minatnya bukan hanya terhadap jentera terbabit sahaja, sebaliknya dia turut mengumpul alat ganti, aksesori, buku manual penggunaan, topi keledar dan apa sahaja barangan berkaitan dengan motosikal itu.

Menceritakan mengenai minatnya, Mohd Nor berkata, sehingga kini dia membelanjakan sehingga RM30,000 bagi mengumpul motosikal terbabit dan barangan berkaitan yang lain.

“Antara model paling disayangi ialah Suzuki ER250 dibeli enam tahun lalu dan scrambler ini mempunyai nostalgia bagi saya.

“Ketika zaman persekolahan, saya kerap lalu di hadapan rumah pemiliknya semata-mata untuk melihat motosikal itu dan menanam azam memilikinya.

“Selepas bekerja, saya pergi menemui pemiliknya, namun dia enggan menjualnya walaupun ketika itu motosikal terbabit tidak digunakan lagi.

“Mungkin kerana rezeki, saya menemui motosikal sama tersadai di sebuah bengkel dan terus membelinya.

“Hasil perkongsian maklumat dengan rakan saya, dimaklumkan hanya ada tiga unit Suzuki ER250 termasuk milik saya masih dalam keadaan baik dan digunakan di jalan raya di negara ini,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, antara model motosikal scrambler retro dimilikinya Suzuki ER125 (dua buah), Suzuki ER100, Suzuki TS250, Suzuki TS185, Suzuki TS100 (tiga buah), Suzuki TS100 model C, Honda XL125, Honda Enduro 250 dan Honda Enduro 125.

“Jika ada kelapangan, saya bersama rakan menunggang scrambler retro melalui jalan lasak. Walaupun jentera ini berusia lebih 30 tahun, kemampuannya setanding dengan motosikal lasak keluaran terbaharu,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2016 @ 7:42am
d