mutakhir

Geng Buas tersungkur

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Curi, lerai dan jual. Itu taktik Geng Buas yang aktif mencuri motosikal kapcai di kawasan flat dan pusat beli-belah di sekitar daerah ini sejak November tahun lalu.

Bagaimanapun, kelicikan kumpulan itu akhirnya tumpas apabila polis menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 26 tahun di Seri Muda, Seksyen 25 di sini, 23 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kumpulan itu ditumpaskan susulan penahanan suspek pertama kira-kira jam 2 pagi oleh sepasukan anggota pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap suspek berjaya menahan dua lagi lelaki di sekitar Seri Muda dan merampas 13 motosikal termasuk rangka serta komponen yang dibuang di sekitar kawasan hutan.

“Motosikal, rangka dan komponen itu ditemui polis disembunyikan suspek di kawasan hutan di Seri Muda, Saujana Putra dan Putra Height bagi memudahkan mereka meleraikan kerana jauh dari kawasan orang ramai.

“Suspek juga menjual komponen motosikal dicuri dengan harga lebih murah daripada pasaran memandangkan dua daripada mereka bekerja sebagai mekanik dan tahu cara meleraikan kenderaan itu,” katanya ditemui pada Majlis Meraikan Atlet Olahraga IPD Shah Alam di sini, semalam.

Menurutnya, dengan penahanan suspek, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes curi motosikal di sekitar daerah ini dan Kuantan, Pahang yang dilaporkan hilang sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, suspek lebih berminat mencuri motosikal Yamaha 125z dan LC135 memandangkan faktor permintaan komponen tinggi dan mudah dijual kepada pasaran gelap.

“Semua suspek direman hingga 10 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2016 @ 7:47am
d