mutakhir

Perintis sungai terjernih

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Cameron Highlands: Sungai Bertam menjadi perintis kepada projek kelestarian tadahan sungai dengan menggunakan sistem Inteligent River Guard (INTRiGUARD) yang dibangunkan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), bertujuan menjernihkan semula air sungai ke tahap paling jernih.

Projek menggunakan sistem INTRiGUARD itu dilakukan NAHRIM dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands akan menjalani tiga fasa iaitu pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang selama dua tahun.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, 2,000 tiang sistem INTRiGUARD dipasang di sepanjang Sungai Bertam dalam tempoh dua tahun membabitkan jumlah keseluruhan kos RM8 juta manakala bagi fasa pertama dijalankan selama enam bulan membabitkan 300 tiang.

Menurutnya, sistem itu berperanan memantau pencerobohan rezab sungai dan memberi amaran awal banjir, sekali gus mampu meningkatkan kualiti air di Sungai Bertam termasuk anak sungai.

Beliau berkata, kualiti air di Sungai Bertam penting kerana aliran sungai berkenaan mengalir ke Sungai Pahang, sekali gus menjadi faktor penentu kepada kualiti air di Sungai Pahang.

“Kualiti air ada lima tahap dengan pertama paling jernih hingga kelima paling teruk, kualiti air di Sungai Bertam pernah turun sampai ke tahap tiga berikutan penerokaan tanah haram dan sekarang ia sudah berada di tahap dua.

“Sasaran diletakkan dengan pemasangan sistem ini ialah kualiti air mampu sampai ke tahap satu iaitu paling jernih dan dengan pemantauan melalui sistem ini, ia bukan sasaran yang mustahil,” katanya yang ditemui dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program Kelestarian Tadahan Sungai Bertam, di sini, semalam.

Disiarkan pada: March 11, 2016 @ 9:32am
d