mutakhir

Laluan khas untuk Ecah

Oleh myMetro

Sabak Bernam: Lima laluan khas sedang dibina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, dekat sini, bagi memudahkan pergerakan Siti Nuraisyah Sahrin, 13, atau Ecah yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori dalam kejadian 18 Januari lalu.

Laluan khas berkenaan membabitkan jalan ke kantin, tandas serta keluar masuk sekolah.

Bapa tirinya, Roslan Sardi, 40, berkata, dia dimaklumkan mengenai laluan berkenaan dibina untuk kemudahan Ecah yang dijangka bersekolah pada 21 Mac ini.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, kelas Ecah di tingkat tiga dan kini ditukar aras bawah.

“Kami berterima kasih kepada pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam (PPDSB) kerana membina kemudahan untuk Ecah.

“Pembinaan laluan ini memudahkan pergerakan Ecah kerana dia menggunakan kerusi roda sepanjang di sekolah,” katanya.

Katanya, ketika ini Ecah bergerak menggunakan kerusi roda termasuk ke tandas.

Dalam pada itu, Roslan berkata, rawatan susulan seperti mencuci luka dan menemui doktor diteruskan seperti biasa.

Sementara itu, hampir seminggu Ecah pulang ke rumahnya di Parit 16, di sini, orang ramai terus mengunjunginya.

Semalam anggota polis dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam; Majlis Keselamatan Jalan Raya Selangor serta Pejabat Daerah Sabak Bernam meluangkan masa melawatnya.

Disiarkan pada: March 11, 2016 @ 11:40am
d