mutakhir

Suasana unik dari balkoni

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Suasana ruang udara Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini kelihatan lebih ceria dengan kehadiran pelbagai bentuk serta warna belon udara panas menerusi penganjuran Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2016.

Lebih 20 belon berbentuk kuda belang, ketam dan roket menceriakan pemandangan indah di Putrajaya bermula semalam hingga Ahad ini seawal jam 7 pagi.

Pengunjung, Muhd Hakimi Sulaiman, 15, berkata, ini pengalaman kedua dia menaiki belon udara panas namun perasaan berdebar masih ada.

“Saya datang bersama rakan sekolah dan pada mulanya guru memberitahu kami datang untuk melihat belon udara panas serta mengambil gambar secara dekat.

“Bagaimanapun, kami tidak sangka berpeluang menaiki belon berkenaan secara percuma,” katanya, semalam.

Muhd Hakimi berkata, dia seronok dan tidak sabar menceritakan kepada keluarga supaya datang ke fiesta berkenaan untuk merasai pengalaman itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) dari Program Pendidikan Khas Integrasi itu seorang daripada 38 pengunjung yang dijemput penganjur bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Penduduk Cyberjaya, Daud Mydin berkata, setiap kali fiesta belon panas itu diadakan, dia dan isteri duduk di balkoni rumah bagi menikmati pemandangan yang jarang dilihat.

Dia yang tinggal di Perdana Lake View East sejak tiga tahun lalu berkata, festival berkenaan memang dinanti-nantikan kerana pemandangan dari rumahnya menjadi begitu unik.

Fiesta belon udara panas itu masuk kali kelapan diadakan di Putrajaya anjuran AKA Balloon dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj).

Disiarkan pada: March 12, 2016 @ 8:01am
d