mutakhir

Puas hati layanan pemaju

Oleh Icka S Hassan

Shah Alam: Sebanyak 17 projek hartanah bernilai lebih RM300 juta ditawarkan menerusi pameran Koleksi Hartanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, baru-baru ini.

Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah berkata, pameran sempena Hari Mesra Pelanggan PKNS 2016 itu berlangsung 15 hari dan berakhir 6 Mac lalu. Ia memberi pendedahan kepada pengunjung informasi terkini mengenai projek hartanah dan komersial PKNS.

“Antara produk yang ditawarkan ialah Opal Residensi dan Aquavilla di Seksyen 7, Anggun 2 dan Hijauan Enklaf di Setia Alam, Cassia dan Azhara di Antara Gapi, Citrina 3 dan Dillenia di Bernam Jaya, Puteri Daffina 2 di Kota Puteri, Astana Keriung di Rasa dan Vega Residensi di Selangor Cyber Valley.

“Selain itu unit komersial yang ditawarkan ialah seperti I-Zone di Bandar Sultan Suleiman, Gapi Avenue 2 dan 3 di Antara Gapi, I-Zone Zurah di Rasa dan Perdana Avenue di Kuang,” katanya ditemui pada Hari Mesra Pelanggan PKNS 2016.

Beliau berkata, penganjuran program berkenaan bagi membuka ruang kepada pelanggan dan orang ramai untuk mengemukakan aduan, pandangan dan kehendak mengenai produk serta perkhidmatan disediakan.

Program berkenaan adalah acara dwitahunan yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.

Kesungguhan PKNS terbukti apabila turut berjaya memenangi Anugerah Pengurusan Pelanggan Terbaik Selangor dalam Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang (APPC) 2015.

Sementara itu pengunjung, Mohd Fairul Salihin, 31, berkata, pengalaman hampir dua tahun menjadi pelanggan PKNS ternyata tidak merugikan kerana syarikat itu sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti.

“Daripada ketika merancang hingga proses pembelian, mereka sentiasa memberikan informasi dan memastikan kami sebagai pelanggan tahu dan faham setiap kekurangan dan kelebihan yang diberikan. Perkara ini tidak semua syarikat hartanah lakukan.

“Disebabkan perkara ini, saya menjadi lebih yakin untuk mencari dan menambah lagi hartanah di bawah seliaan PKNS kerana yakin dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2016 @ 8:25am
d