mutakhir

Macam bela anak

Oleh Ahmad Fadzly Esa

Shah Alam: “Bukanlah pelik apabila kos memelihara kucing mampu menandingi kos penjagaan seorang anak,” kata peminat kucing, Faridatul Hafizah Abd Rahim, 31.

Katanya, minat dan sayang mendalam terhadap haiwan itu menyebabkan dia dan suaminya Mohd Nor Firdauz Abd Rashid, 38, membeli Jojo iaitu kucing baka tempatan berbulu panjang dengan harga RM1,800 sejak beberapa tahun.

Menurutnya, dia tidak kisah jika terpaksa mengeluarkan wang sehingga mencecah ribuan ringgit bagi memastikan Jojo bersama 12 lagi kucingnya berada dalam keadaan sihat.

“Bayangkan jika kucing sakit, kos rawatan boleh mencecah hingga ribuan ringgit termasuk makanan, barangan penjagaan seperti syampu dan sebagainya untuk memastikan mereka sihat.

“Walaupun kos membela 13 kucing mencecah RM850 sebulan, namun itu bukan penghalang kepada kami untuk memastikan keperluan haiwan itu terjaga,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.

Pasangan suami isteri menetap di Sungai Besi, Kuala Lumpur antara peminat kucing yang ditemui pada Pameran Kucing UNISEL 2016 anjuran Universiti Selangor (UNISEL) yang menghimpunkan lebih 500 peminat kucing seluruh negara.

Jojo berjaya merangkul tempat pertama kategori ‘pedigree’ dalam pertandingan Pameran Kucing UNISEL 2016 dan membawa pulang hadiah piala, barangan makanan serta aksesori haiwan terbabit.

“Kami berdua memang meminati kucing sejak kecil lagi. Mulanya kami anggap membela kucing sebagai hobi, tak sangka akan sampai ke tahap boleh memenangi pertandingan,” katanya.

Pertandingan berkenaan diadili juri tempatan diiktiraf Federation International Feline (FIFE), Awalludin Jaafar.

Sementara itu, Penyelaras programnya, Ahmad Fadzirizam Zamri berkata, beliau bersama-sama 23 penuntut Ijazah Sarjana Muda Fakulti Perniagaan UNISEL mengambil masa sebulan bagi merealisasikan penganjuran program berkenaan.

“Kami berharap program ini akan dapat membuka minda pemilik sekali gus dapat mengubah mentaliti masyarakat untuk menitik berat perkara berkaitan penjagaan kucing,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2016 @ 7:21am
d