mutakhir

Bekalan sepanjang hayat

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: “Walaupun pertama kali menyertai program ini, saya belajar perkara baharu contohnya cara solat dengan betul. Insya Allah saya praktikkan ilmu ini sampai bila-bila,” kata peserta program Kem Ibadah Kanak-Kanak, Nur Wardah Wafin Frankis.

Murid tahun enam itu berkata, melalui program itu, dia didedahkan dengan ilmu fardu ain selain meningkatkan motivasi sebagai seorang anak dan pelajar cemerlang.

Nur Wardah berkata demikian selepas dipilih sebagai pelajar perempuan terbaik bagi program dianjurkan Masjid Negara itu, semalam.

Majlis perasmian penutup program disempurnakan Penolong Pegawai Kanan Masjid Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim.

Program tiga hari dua malam itu disertai 123 murid dan pengisian program kali ini memberi fokus kepada intensif fardhu ain, praktikal solat dan amalan sunat, zikir serta qiamullail.

Seorang lagi peserta, Mohamad Ilhan Mohamad Taufik, 9, berkata dia tidak akan melepaskan peluang menyertai program begini pada masa depan.

“Sebelum ini, saya tak pernah bangun malam untuk qiamullail dan ini pengalaman pertama,” katanya.

Ibu bapa yang menghantar anak mereka ke kem berkenaan pula berpuas hati dengan pendedahan diberikan sepanjang tiga hari program itu berlangsung.

Kakitangan kerajaan, Belinda Adzmi, 37, berkata, dia menghantar dua anaknya ke kem itu supaya mereka dapat mendalami ilmu akhirat dan belajar bergaul dengan murid lain.

“Ini kali pertama saya hantar mereka ke program sebegini. Saya mahu mereka belajar mengenai solat dan ilmu akhirat daripada tenaga pengajar berpengalaman. Alhamdulillah nampaknya mereka gembira,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zuhairee berkata, program itu semakin mendapat perhatian daripada ibu bapa.

“Ibu bapa memang mencari program begini untuk memberi peluang kepada anak-anak mereka belajar berdikari. Sekali gus mendekatkan masjid kepada kanak-kanak,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2016 @ 9:33am
d