mutakhir

Lindungi penguat kuasa

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Agensi penguatkuasaan di negara ini perlu diletakkan dalam kluster sendiri selain anggotanya harus dilindungi insurans.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata, pihaknya sedang berunding dengan kerajaan supaya satu mekanisme terbaik diwujudkan untuk melindungi kebajikan penguat kuasa dan menambah baik gerak kerja agensi terbabit.

Katanya, dalam dunia terbuka sekarang, penguat kuasa berdepan pelbagai cabaran dan risiko sama ada sewaktu atau selepas bertugas.

“CUEPACS mencadangkan penjawat awam bukan saja dilindungi insurans oleh kerajaan, malah turut mendapat manfaat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang selama ini hanya menjaga sektor swasta.

“Jika berlaku perkara tidak diingini kepada penguat kuasa ketika bertugas, siapa hendak tanggung keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, ada 14 agensi penguatkuasaan di negara ini, namun tidak semua anggotanya dilindungi di bawah akta agensi masing-masing seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia mempunyai Akta Kastam 1967 dan Jabatan Imigresen mempunyai Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, ada agensi tertentu seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), penguat kuasanya tidak dilindungi di bawah akta agensi terbabit secara langsung.

Menurutnya, jumlah penguat kuasa dan logistik perlu ditambah mengikut keadaan semasa kerana penjenayah kini semakin bijak menggunakan pelbagai taktik baru untuk melanggar undang-undang.

“Bayangkan kita ada kira-kira 13,000 kakitangan imigresen, tetapi dapatkah mereka mengawal sempadan negara yang begitu luas? Mereka juga manusia seperti kita yang ada dua tangan serta dua kaki dan pergerakan juga terbatas.

“Kita bukan saja perlu menambah lebih ramai anggota penguat kuasa, tetapi juga menaik taraf logistik seperti menyediakan mesin pengimbas yang lebih banyak dan canggih supaya hasil negara tidak bocor keluar hanya disebabkan kekurangan peralatan yang tidak sepatutnya ini,” katanya.

Azih berkata, sebagai contoh kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) menyebabkan depoh tahanan imigresen kini penuh dan penguat kuasa berdepan tugas berat kerana aset yang ada seperti lori juga tidak mencukupi untuk kegunaan mereka.

“Kalau kita mahu perkhidmatan cekap, tenaga kerja mesti ramai dan peralatan juga perlu bagus serta terkini. Apabila sumber kerja baik, maka hasil kerja pun baik,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2016 @ 9:36am
d