mutakhir

'Nasib baik jari tak kena potong'

Oleh myMetro

Sungai Besar: “Saya bernasib baik apabila jari tangan kiri saya tidak dipotong,” kata peniaga kedai makan, So Chin Hui, 40, yang diselamatkan anggota bomba selepas cincin disarung tersangkut di jari tengahnya.

Dia berkata, jarinya tambah membengkak selepas dihempap kayu digunakan sebagai papan pengadang di rumahnya, Isnin lalu.

“Kejadian itu menyebabkan aliran darah di jari terjejas. Saya terpaksa pergi ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Katanya, doktor bertugas menasihatkan dia mendapatkan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan jika mahu mencabut cincin itu.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan pemotong khas untuk memotong cincin besi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, Chin Hui datang ke Balai Bomba Sekinchan kira-kira jam 12 tengah hari Khamis lalu bagi mendapatkan bantuan khas memotong cincin yang tersekat di jarinya.

Katanya, anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memotong cincin berkenaan.

Disiarkan pada: March 14, 2016 @ 9:54am
d