mutakhir

Prada cap Jalan Imbi

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Segelintir peniaga tempatan dikesan sengaja ‘mengotorkan’ nama baik negara ini apabila aktif menipu pelancong asing melalui penjualan beg berjenama tiruan.

Kumpulan peniaga ini menggunakan taktik menyewa ruang niaga di pusat beli-belah terkemuka di ibu negara bagi memperdaya mangsa.

Terbaru tiga premis di sebuah pusat beli-belah terkenal di Jalan Imbi di sini, diserbu pihak berkuasa semalam selepas didapati menjual barangan berjenama terkenal cetak rompak.

Dalam serbuan jam 1.30 petang itu, semua premis itu diserbu bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas menerima aduan daripada wakil pemilik sah cap dagang produk tulen.

Hasil serbuan itu, KPDNKK berjaya merampas pelbagai beg dan aksesori tiruan jenama Louis Vuitton, Gucci dan Prada bernilai puluhan ribu ringgit.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, serbuan dilakukan sebaik menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang.

Katanya, antara barangan yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan adalah beg bagasi, tali pinggang, beg tangan, dompet, beg kad nama dan beg silang.

“KPDNKK berjaya merampas 149 unit pelbagai barangan berjenama terkenal tiruan itu.

“Kami juga mengambil keterangan beberapa pekerja di tiga premis berkenaan untuk membantu siasatan bagi mengesan pembekal sebenar produk tiruan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

Katanya, jika sabit kesalahan, syarikat yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM15,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya denda tidak lebih RM30,000.

“Bagi individu pula, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2016 @ 8:10am
d