mutakhir

Iron Man jual coconut shake

Oleh myMetro

Kota Bharu: Penduduk di sekitar daerah ini dikejutkan dengan kemunculan adiwira Iron Man yang menjual air coconut shake di Jalan Pintu Geng, di sini, sejak tiga hari lalu.

Strategi peniaga, Mohd Khairi Abdul Aziz, 34, itu menarik perhatian orang ramai untuk bergambar dengan adiwira itu, sekali gus melariskan jualannya sehingga menjadi viral di laman sosial.

Mohd Khairi berkata, idea menggunakan kostum adiwira itu diinspirasikan daripada Nasi Lemak Spiderman yang menarik perhatian orang ramai sejak bulan lalu.

Katanya, dia yang menjual coconut shake pada harga RM2 hingga RM3.50 sejak setahun lalu mahu mencipta kelainan dengan memilih Iron Man kerana orang ramai termasuk kanak-kanak dan golongan dewasa meminati adiwira itu.

“Ilham muncul selepas saya tertarik dengan gelagat Spiderman menjual nasi lemak dan di situ saya fikir apa salahnya kami mencubanya untuk menghiburkan pelanggan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur selepas tiga hari, perniagaan saya semakin laris apabila ramai yang berhenti untuk bergambar sambil membeli coconut shake,” katanya.

Menurutnya, kostum dibeli dengan harga lebih RM1,000 daripada kenalan dari Thailand dan siap dalam tempoh dalam dua bulan.

“Kostum itu dipakai sepupu, Muhammad Hans Hazid Mohd Hanif, 17, serta rakannya, Mohd Amirul Asif Hairul, 17, secara bergilir.

“Sempena cuti sekolah ini juga, kami menambah lagi beberapa adiwira seperti watar Star Wars, Batman, Kamen Rider serta karakter daripada permainan video, Halo,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hans berkata, dia memakai kostum itu sejak tiga hari lalu bersempena cuti sekolah dan tidak sangka kini viral di laman sosial.

“Kami seronok kerana dapat meluangkan masa cuti sekolah dengan menghiburkan orang ramai selain membantu perniagaan bapa saudara,” katanya.

“Tugas menjadi adiwira sama sekali tidak mengganggu pembelajaran kerana ia tidak mengambil tempoh masa yang lama berikutan kami memakainya secara bergilir,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2016 @ 8:49am
d