mutakhir

MAIK urus wang ihsan

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra semalam menyaksikan pemeteraian perjanjian pelantikan Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebagai agensi pelaksana Program Wang Ihsan Negeri.

Turut menyaksikan pemeteraian itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Bangunan Parlimen di sini.

Pada majlis itu, Kerajaan Persekutuan diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah manakala MAIK diwakili Timbalan Yang Dipertua Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi.

Sementara itu, Najib berharap dengan pelantikan itu memperluas serta menambahkan lagi keberkesanan Program Wang Ihsan Negeri Kelantan.

“Dengan fokus utama program itu untuk terus membasmi kemiskinan, bantuan persekolahan, ibu tunggal dan anak yatim di Kelantan,” kata beliau melalui status Facebook peribadi semalam.

Dalam pada itu Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, Kerajaan Persekutuan melalui kementerian itu dan MAIK memeterai perjanjian berkenaan bagi membolehkan MAIK berkongsi dana wang ihsan itu pada nisbah 50:50 dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPP Kelantan) tertakluk kepada siling RM25 juta setahun bagi setiap agensi pelaksana.

Menurut kementerian, pelantikan majlis itu sebagai agensi pelaksana bersama JPP Kelantan selaras cadangan dikemukakan Istana Kelantan.

Katanya, pembabitan majlis itu juga diharapkan memperluas dan meningkatkan lagi keberkesanan Program Wang Ihsan Kelantan.

Disiarkan pada: March 15, 2016 @ 9:09am
d