mutakhir

Swasta pemangkin KL metropolis

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perniagaan swasta boleh menjadi pemangkin dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi lebih menarik untuk didiami oleh individu dari seluruh dunia dengan tempat tinggal, pendidikan, infrastruktur dan penjagaan kesihatan yang baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, negara kini berada dalam landasan tepat ke arah mencapai matlamat terbabit di mana Kuala Lumpur kini berada pada senarai Lima Bandar Dunia Perlu DiPerhatikan di mana ia diiktiraf oleh kumpulan hartanah antarabangsa Knight Frank.

“Kumpulan itu menyatakan bahawa terdapat tarikan yang akan diperbaharui pada setiap bandar terbabit iaitu sesuai untuk didiami dan bekerja serta sebagai destinasi untuk hiburan dan pelancongan,” katanya ketika berucap merasmikan projek 8Kia Peng di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Ekskutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong dan Timbalan Pengerusinya, Datuk Eu Hong Chew.

The Mercer Quality of Living Rankings menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai bandar kedua di antara bandar Asia Tenggara pada tahun lalu manakala Laporan Euromonitor menyenaraikan Kuala Lumpur di tempat kesembilan daripada 100 bandar utama global dalam kemasukan pelancong antarabangsa.

Beliau berkata, pembangunan I-City di Shah Alam dan menara 8Kia Peng di Changkat Kia Peng, Kuala Lumpur oleh I-Berhad adalah contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh menyumbang kepada matlamat negara dalam menjadikan Greater Kuala Lumpur (Greater KL) dan Lembah Klang sebagai bandar lebih baik serta terkemuka di peringkat global.

“Matlamat ini akan dicapai melalui peningkatan kehadiran pelancong dan merangsang pasaran hartanah negara dengan mewujudkan kesedaran lebih tinggi mengenai Program Malaysia Rumah Keduaku,” katanya.

Najib berkata, pembangunan projek itu adalah satu langkah dalam menjadikan bandar Kuala Lumpur lebih ikonik dan bersifat global, sekali gus menjayakan pembangunan Greater KL iaitu satu daripada 12 Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) di bawah Program Tranformasi Ekonomi.

Greater KL bertujuan mentransformasikan Kuala Lumpur daripada hab dan bandar komersial kepada metropolis kelas dunia yang meningkatkan kualiti terbaik dalam setiap bidang daripada infrastruktur perniagaan hingga aspek selesa didiami selari dengan status sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Kerajaan percaya sektor swasta memainkan peranan penting dan signifikan kepada pembangunan Malaysia dan pada masa sama, menjadi penyedia kepada rakyat namun kerajaan juga perlu fasilitator dan pemudah cara kepada sektor swasta,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2016 @ 9:18am
d