mutakhir

Gesa haram guna antibiotik dalam makanan ternakan

Oleh myMetro

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar mengharamkan penggunaan antibiotik dalam makanan ternakan kerana boleh mengancam kesihatan manusia.

Presiden CAP S M Mohamed Idris berkata, negara Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain mengharamkan penggunaan antibiotik dalam makanan ternakan selain berkaitan perubatan untuk membendung krisis yang berpunca daripada kekebalan antibiotik.

“Pelbagai jenis antibiotik termasuk yang paling beracun semakin kurang berkesan dalam melawan penyakit hingga menimbulkan krisis kesihatan awam seluruh dunia.

“Tinjauan CAP di Kedah dan Perlis mendapati antibiotik jenis erythromycin mudah ditemui di kedai menjual makanan haiwan ternakan dan antibiotik ini diberikan kepada haiwan secara rutin untuk mempercepatkan pembesarannya.

“Erythromycin digunakan untuk mengubati penyakit manusia dan ia mudah dibeli di farmasi tanpa memerlukan preskripsi,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, CAP turut menggesa kedua-dua kementerian terbabit supaya membentuk satu sistem kebangsaan untuk memantau penggunaan dan penyalahgunaan antibiotik dalam makanan haiwan serta mendidik penternak mengenai penggunaan antibiotik yang betul.

Menurutnya, pihaknya turut berharap rangkaian restoran makanan segera berhenti menghidangkan daging yang diperoleh daripada haiwan ladang yang diberikan antibiotik.

Disiarkan pada: March 16, 2016 @ 8:26am
d