mutakhir

Sengsara bukan kepalang

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Bukan calang-calang ujian terpaksa ditempuhi mereka, sebaliknya banjir besar pada Disember 2014 disifatkan bencana yang melekat kuat dalam fikiran mangsa sehingga kini.

Seramai 319,311 mangsa membabitkan 87,470 keluarga terutama mereka yang menerima kesan paling serius akan terus mengenang bencana itu sehingga akhir hayat disebabkan kesengsaraan ditempuhi lebih seminggu.

Seorang daripada mereka adalah Asmah Ibrahim, 55, berasal dari Kampung Manek Urai, Kuala Krai yang rumahnya musnah dan hanya tinggal tiang sahaja.

“Takkan saya lupa insiden itu walaupun sudah masuk dua tahun kejadian berlaku. Hingga kini, setiap kali menghantar anak ke sekolah, saya pasti akan terkenang kesengsaraannya.

“Lebih seminggu saya menghuni pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai. Jerih perih kami duduk dalam bangunan sekolah yang dikelilingi arus deras air bah cukup menakutkan.

“Ketika itu hanya doa sahaja senjata kami. Setiap kali kayu balak rempuh bangunan, kami hanya berteleku memanjatkan doa dan tawakal kepada Allah SWT.

“Selain doa, dalam tempoh itu, hanya air mata sahaja yang temani kami, malah tidur pun tidak pernah lena.

“Apabila dibenarkan pulang, perkara lebih dahsyat pula berlaku kerana rumah saya hancur, tiada apa-apa melainkan tiang,” katanya yang juga penerima rumah kekal pemberian kerajaan.

Berkongsi perasaan yang sama, Mohd Azizi Ahmad, 53, dari Kampung Kok Jerat, Tumpat pula menyifatkan kehidupannya selepas banjir berubah 100 peratus kerana tiada lagi rumah untuk berteduh dan harta benda.

Katanya, hampir setahun diperlukan untuk membina dan membaik pulih rumah berkenaan menyebabkan dia sekeluarga terpaksa menghuni bilik kecil selain menumpang teduh di rumah saudara-mara.

“Saya bersyukur apabila ada pihak yang prihatin dan kini saya dapat tinggal di rumah baru di Kampung Berlian sejak Disember 2015,” katanya.

Dalam pada itu, badan bukan kerajaan (NGO) antara pihak paling awal menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuklah Third Force.

Pengasasnya, Raja Shamri Raja Husin berkata, sehingga kini bayangan bencana banjir itu masih dirasainya terutama apabila melihat betapa sengsaranya mangsa.

Malah, beliau yang lebih dikenali sebagai Abe Raja berkata, misi kemanusiaan di kawasan terjejas teruk terutama Kuala Krai menjadikan NGO diasaskannya lebih kukuh dengan penyertaan pelbagai rakyat.

Katanya, ia menyatukan semua sukarelawan untuk sama-sama membantu mengurangkan derita mangsa.

“Antara perkara yang tidak boleh saya lupakan ketika misi itu apabila kaki palsu saya tercabut semasa membantu mangsa banjir. Mujurlah ada orang yang membantu menyelamatkan kaki berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2016 @ 9:16am
d