mutakhir

Anak enggan cerita kejadian ragut nyawa rakan

Oleh myMetro

Seberang Jaya: Seorang daripada mangsa yang dilanggar kereta ketika bermain papan selaju di susur keluar Jejambat Jalan Permatang Batu, Sabtu lalu, Amirul Haiza Hakimi Abd Sani, 14, dilaporkan semakin stabil.

Ibunya, Mazura Anuar, 43, berkata, anaknya itu belum dibenarkan pulang kerana perlu menjalani pembedahan di kaki kanannya selain rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Katanya, anaknya itu sudah boleh bercakap, namun enggan menceritakan kejadian yang berlaku pada malam Sabtu lalu.

“Dia kelihatan sangat trauma dengan kejadian ini apatah lagi selepas mengetahui rakannya, Mohd Nur Amier Ishak, 13, meninggal dunia,” katanya ketika menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin di HSJ, semalam.

Mazura berkata, ketika malam kejadian, dia sudah melarang anaknya itu supaya tidak bermain di kawasan berkenaan, namun larangannya itu tidak diendahkan.

“Memang dia ada memberitahu mahu bermain di kawasan itu, tapi saya memarahinya dan tak sangka, dia tetap pergi juga bermain di situ,” katanya yang berniaga di pasar malam di Perda.

Dalam kejadian jam 11.20 malam Sabtu lalu, empat pelajar dilanggar kereta ketika bermain papan selaju dan seorang daripadanya iaitu Mohd Nur Amier meninggal dunia jam 4.30 petang Isnin lalu.

Seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Nasrul Hisham Muhammad Nazri, 11, masih dirawat di Hospital Bukit Mertajam, manakala Mohd Alif Rosdi, 11, sudah dibenarkan pulang.

Disiarkan pada: March 17, 2016 @ 9:32am
d