mutakhir

Teresak-esak di mahkamah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang warga Thailand menangis teresak-esak ketika didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan memberi suapan RM180 kepada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Selasa lalu.

Marosi Peeyoh, 31, yang tidak diwakili peguam didakwa bersama rakannya, Abdunkode Koya, 38.

Tertuduh sebelum itu dilihat mengesat air mata ketika mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin selepas mengaku salah terhadap tuduhan itu.

“Saya mempunyai seorang anak masih kecil dan ibu yang sudah tua. Saya masih perlu menyara mereka.

“Mohon dikenakan hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahan ini,” katanya.

Abdunkode turut mengaku salah terhadap tuduhan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Ahmad Bazli kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 terhadap kedua-dua tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara berjalan dari tarikh mereka ditangkap pada 15 Mac lalu selain tambahan penjara sebulan jika gagal menjelaskan denda.

Difahamkan, kedua-dua tertuduh tidak membayar denda berkenaan.

Disiarkan pada: March 18, 2016 @ 6:47am
d