mutakhir

Berkongsi simpati

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Penderitaan Nur Farina Ng Muhammad Iman Firdaus, 3, yang menghidap ketumbuhan otak menyebabkan kepalanya membesar mula mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan penderitaan kanak-kanak terbabit.

Nasib Nur Farina turut mendapat perhatian Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) yang mengunjungi rumah kanak-kanak itu di Flat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Pantai Peringgit, semalam.

Pengerusi MGBM Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, pada kunjungan itu pihaknya turut melakukan penilaian bagi membantu bapa Nur Farina, Muhammad Iman Firdaus Ng Abdullah, 52, mengukuhkan semula kewangannya.

“Bagi membantu bapa kanak-kanak itu bekerja semula dalam masa terdekat, kami bercadang menempatkan Nur Farina di rumah jagaan yang diuruskan oleh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

“Kami mencadangkan Muhammad Iman Firdaus mencari pekerjaan yang mempunyai masa lebih fleksibel bagi membolehkan dia menjaga Nur Farina sambil menjana pendapatan,” katanya.

Pada kunjungan itu, MGBM turut menghulurkan bantuan segera kepada keluarga itu membabitkan barangan keperluan asas dan lampin pakai buang bagi kegunaan Nur Farina.

Katanya, selain menyampaikan bantuan, MGBM turut memberikan motivasi kepada bapa kanak-kanak itu berhubung perancangan pengurusan kewangan bagi membantu Muhammad Iman Firdaus berdikari semula.

Menurutnya, MGBM akan memantau perkembangan keluarga itu dari semasa ke semasa serta menghulurkan bantuan tambahan mengikut kesesuaian tiga beranak terbabit.

Sementara itu, Muhammad Iman Firdaus berkata, dia amat terharu dengan kunjungan wakil MGBM dan berharap pertubuhan itu dapat membantunya mencari pekerjaan yang sesuai dengan dirinya.

“Saya segan kerana tidak bekerja sedangkan mempunyai tubuh badan yang sihat, tetapi keadaan Nur Farina, menyebabkan saya tidak sanggup membiarkan dia seorang diri di rumah,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2016 @ 6:48am
d