mutakhir

Laungan azan 'panggil' jasad [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Kuala Nerus: Ibu kepada mangsa lemas Isabassri Ishak, 21, Normar Lekoon, 55, hanya mampu menitiskan air mata kesyukuran apabila mayat anaknya ditemui selepas sejam melakukan solat hajat dan laungan azan sebaik tiba di tempat kejadian di Pantai Tok Jembal di sini, semalam.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa dan permintaan kami supaya mayat anak segera ditemui. Syukur selepas hampir sejam menunaikan solat hajat, mayat arwah ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat dia dikatakan mandi pada jam 2.30 petang semalam (kelmarin).

“Walaupun sedih menerima dugaan ini, namun kami reda kerana apa yang berlaku ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Normar berkata, dia bersama abangnya, Mat Latib, 60, dan ipar, Hendun Saidin, 57, serta anak saudaranya, Ammar Al-Hafiz, 26, bertolak dari rumahnya di Kampung Sri Terbang C Tambahan 1, Chenor, Perak, kira-kira jam 1 pagi sebelum tiba di pantai berkenaan pada jam 1.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, sebaik tiba, dia bersama abang dan anak saudaranya terus menunaikan solat hajat dan melaungkan azan di kawasan pantai berkenaan.

Katanya, dia dan suami, Ishak Ngah Mohd Ali, 57, menaruh harapan tinggi terhadap arwah kerana dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga yang terdiri daripada lima beradik berusia 17 hingga 23 tahun.

“Arwah anak ketiga dan seorang yang baik serta mengambil berat terhadap keluarga. Memang kami menaruh harapan tinggi, tetapi apakan daya Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Dalam kejadian jam 6.45 petang kelmarin, pelajar tahun satu Pengurusan Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu dikatakan lemas bersama rakannya, Mohd Nazri Mohamed, 21, ketika mandi di Pantai Tok Jembal, di sini.

Bagaimanapun, Mohd Nazri, pelajar jurusan sama dari Kampung Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan berjaya diselamatkan orang ramai yang berada di tempat kejadian manakala Isabassri hilang dihanyutkan arus.

Menurut Normar, kali terakhir dia menghubungi arwah pada 3 Mac lalu kerana mahu mengucapkan selamat hari jadinya yang ke-21.

“Bagaimanapun, selepas itu, arwah kerap menghubunginya bertanya khabar hal keluarga, apatah lagi ketika ini keadaan bapanya yang bekerja di sebuah kilang di Ipoh, Perak agak kurang sihat.

“Banyak perbualan kami hanya berkisar mengenai keluarga dan pelajarannya dan tidak ada perkara pelik yang dibualkan arwah,” katanya.

Katanya, jenazah anaknya dibawa pulang ke kampung selepas selesai dibedah siasat jam 6 petang semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chenor, pagi ini.

Disiarkan pada: March 18, 2016 @ 7:12am
d