mutakhir

Darjat Khuntab

Oleh Muhamad Izzat Nasuruden

Taiping: Diberi gelaran Khuntab atau panglima ketika bertarung dalam gelanggang Muay, Iskandar Zulkarnain Mohd Ezry Azamin Abd Wahab, 12, ternyata layak menerima gelaran itu apabila mengharumkan nama negara pada Festival Seni Mempertahankan Diri Antarabangsa Thai (FSMDAT) dengan meraih empat pingat emas dan dua perak, 15 Mac lalu.

Atlet Muay negara itu adalah yang termuda daripada lima peserta yang dihantar menyertai pertandingan bermula dua hari sebelum itu.

Iskandar Zulkarnain berkata, dia tidak menyangka memenangi kategori kadet 33 kilogram (kg) kerana lawannya di peringkat akhir kejohanan itu adalah peserta dari Thailand yang lebih tinggi daripadanya.

“Saya agak gementar pada perlawanan peringkat akhir tetapi dengan ilmu dan nasihat yang diberi jurulatih, saya dapat menghadapinya dengan baik.

“Saya gembira dan bangga apabila berjaya mengharumkan nama negara dan Persatuan Muay Perak (PMP),” katanya ketika ditemui, semalam.

Berkongsi kisah kejayaannya dalam sukan Muay, Iskandar Zulkarnain yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jering berkata, bapanya tulang belakang bagi setiap kejayaannya dalam sukan berkenaan.

Menurutnya, dia mula mempelajari seni mempertahankan diri Muay sejak berusia empat tahun daripada bapanya.

“Setiap hari, saya memperuntukkan tiga jam bermula jam 2 petang hingga 5 petang untuk berlatih dan meningkatkan kemahiran dalam sukan ini.

“Kejohanan ini pencapaian tertinggi saya dan saya bercita-cita untuk menjadi atlet Muay profesional negara satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Presiden PMP Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menyarankan supaya sukan Muay dijadikan acara rasmi dalam Sukan SEA dan SUKMA 2018 yang akan dianjurkan di negara ini.

Disiarkan pada: March 20, 2016 @ 5:10am
d