mutakhir

Turun iklan hasutan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis akan mengambil tindakan terhadap Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia Datuk Jamal Md Yunos kerana mengancam mahu membakar poster dan papan iklan (billboard).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk menurunkan semua papan iklan yang mempunyai unsur hasutan.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengesan papan iklan dengan kata-kata menghasut dan mengelirukan rakyat yang merujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik.

“@PDRMsia sdg bambil tind ter’hadpa Dato Jamal Yunus kerana ancam bakar poster. Pd masa sama PBT telah diminta turunkan Billboard2 yg menghasut.

“@PDRMsia kesan Billboar dgn kata2 mengahasut dn mengelirukan rakyat yg merujuk DSAI sebagai ‘Tahanan Politik’,” katanya dalam Twitter itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Kami akan menjalankan siasatan secara telus dan kami sudah mengambil keterangan Datuk Jamal Yunus dua hari lalu berhubung ancamannya.

“Selain itu, beberapa individu daripada pihak yang menaikkan poster juga akan diambil tindakan dalam masa terdekat,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2016 @ 5:14am
d