mutakhir

Insaf sampai badan berketul

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Norul Awatif Romli

Alor Setar: Berbekal kekuatan mental dan fizikal serta diiringi kemahuan tinggi untuk berubah, ia menjadi titik perubahan 100 peratus buat seorang lelaki kembali menjalani kehidupan normal selepas terjebak dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak di bangku persekolahan.

Begitu pengalaman buruk dilalui Apit, 22, (bukan nama sebenar) yang mengakui berdepan kesukaran di peringkat awal ketika mahu berusaha mengubah diri tahun lalu kerana ketagihan dadah syabu sejak berusia 15 tahun.

Apit yang turut dikenali sebagai Orang Kuat Kedah berkata, kejayaan pulih daripada gejala ketagihan dadah itu berikutan pembabitan dirinya dalam aktiviti bersukan.

Apit berkata, sepanjang lima tahun bergelumang dengan najis dadah, dia mengakui dirinya begitu jauh dengan Allah SWT mahupun keluarga, malah sering beranggapan rakan sealirannya sebagai keluarga terdekat.

Bukan itu saja, katanya, kelab malam dan ‘port’ melepaskan gian dijadikan rumah sehinggakan dia lalai dalam dunia tersendiri.

Bagaimanapun, katanya, segalanya berubah apabila dia menyaksikan pelbagai peristiwa tragik menimpa rakannya termasuk ada yang mengalami masalah mental dan dibuang keluarga.

“Sejujurnya niat berhenti menghisap dadah sudah lama timbul, namun saya tiada kekuatan, selain tidak mendapat dorongan orang terdekat terutama kedua ibu bapa.

“Saya menjadikan keruntuhan rumah tangga kedua ibu bapa sebagai faktor terjebak ke dunia dadah sedangkan semua itu datang daripada diri sendiri.

“Akibat tersalah langkah dan tidak pandai memilih kawan, saya berjinak dengan dadah sehingga mengabaikan pelajaran dan melakukan kerja sampingan sebagai buruh kasar bagi mencari wang membeli dadah,” katanya.

Meningkat usia 21 tahun, bibit keinsafan mula hadir dalam diri apabila dia nekad kembali ke pangkal jalan dengan menghabiskan masa di gimnasium Monster Fitness milik rakannya yang juga dianggap seperti abang kandung.

Selain bersukan, dia banyak mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan seperti menghadiri ceramah dan mempelajari al-Quran di masjid atau kelas agama.

“Alhamdulillah, berkat usaha selama ini saya mampu pulih. Walaupun perit, namun saya lalui dengan sabar berkat dorongan abang Mohamad Faizal Mohamad Najib, 33 (pemilik gimnasium) dan isterinya, Nurul Hatirah Abdullah, 33.

“Bagi seorang penagih dadah, untuk pulih sepenuhnya ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental, di samping dorongan kuat orang sekeliling.

“Disebabkan itu, abang Mohamad Faizal menjaga ketat jadual saya, selain melatih saya menjadi seorang yang berdisiplin,” katanya.

Apit berkata, kini dia banyak menghabiskan masa di gimnasium dengan membuat latihan sukan bagi kejohanan orang kuat.

“Siapa sangka seorang penagih dadah mampu berubah menjadi atlet. Setakat ini saya memasuki pelbagai pertandingan sukan orang kuat,” katanya.

Menceritakan detik perubahan dalam dirinya, Apit berkata, pada awalnya timbul perasaan malu berdepan realiti, namun dia cekalkan diri pergi ke gimnasium dan berkongsi kisah lampaunya.

Katanya, bermula dari situ pemilik gimnasium tertarik hati membantu sehingga diasuh menjadi atlet orang kuat.

“Setiap hari saya melakukan latihan bebanan, angkat berat, kekuatan, kecergasan dan lain-lain. Bagi saya kaedah bersukan mampu memulihkan ketagihan kerana peluh yang keluar mampu membuang penyakit dan akhirnya pulih semulajadi,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2016 @ 6:43am
d