mutakhir

Premis nombor ekor rugi RM50,000

Sebuah premis menjual nombor ramalan bukan saja kerugian RM50,000 malah turut kehilangan alat perakam kamera litar tertutup (CCTV) selepas dilarikan penjenayah dalam kejadian di Jalan Nunis, di sini, semalam.

Sumber berkata, dalam kejadian pada jam 6.30 pagi, sekumpulan penjenayah memecah masuk premis itu dengan memanjat bahagian bumbung belakang kedai.

Katanya, penjenayah menggeledah premis sebelum menemui peti besi dalam sebuah bilik.

“Mereka memecahkan peti besi berkenaan mengandungi wang tunai RM50,000. Penjenayah dipercayai memasukkan wang dalam beg sebelum melarikan diri,” katanya.

Sumber itu berkata, sewaktu meninggalkan lokasi, suspek memotong wayar CCTV dan memecahkannya.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut membawa lari alat perakam CCTV bagi melupuskan bukti kejadian,” katanya.

Menurutnya, kejadian disedari pekerja premis kira-kira jam 8 pagi ketika mahu memulakan operasi perniagaan.

“Pemilik dan penjaga premis kemudian membuat laporan dibuat di Balai Polis Jalan Campbell, di sini, pada hari kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Disiarkan pada: March 21, 2016 @ 6:45am
d