mutakhir

Segalanya menakjubkan!

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Perjalanan ke tapak pelancaran (Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan) hari itu mengambil masa 40 minit.

Satu kilometer sebelum sampai, bas berhenti dan bermulalah acara tradisi unik bagi setiap angkasawan yang bakal berlepas ke angkasa.

Bagi Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, beliau memang percaya kepada tradisi dan cuba mengikut jejak langkah Yuri Gagarin, manusia pertama berlepas ke angkasa pada 1961.

“Sebaik tiba di tapak pelancaran, kapsul Soyuz sudah berada di situ. Itulah pertama kali saya melihat Soyuz secara dekat.

“Ia begitu cantik. Setiap langkah menghampiri kapal angkasa itu mendekatkan saya kepada impian bergelar angkasawan.

“Malah, setiap langkah turut mengingatkan saya kepada doa rakyat Malaysia,” katanya.

Mengimbas pengalaman ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sembilan tahun lalu, Dr Sheikh Muszaphar mengakui teruja dengan tradisi, latihan serta setiap saat yang dilalui sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 333 kilometer dari muka bumi itu.

“Tiga jam sebelum berlepas, saya bersama Komander Peggy Whitson dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko sudah terikat di kerusi masing-masing.

“Lima minit sebelum pengiraan detik pelancaran, semua sistem diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Enjin Soyuz berbunyi lantang. Gegarannya kuat.

“Saya mula merasakan pergerakan menaik secara perlahan dan kemudian merentas laju,” katanya.

Keterujaan ke angkasa menarik perhatiannya untuk cuba melihat keluar tingkap, namun semuanya kelihatan gelap.

Tiga pemisahan roket berlaku lancar dengan setiap satunya meninggalkan kesan sentakan berbeza.

“Tidak lama selepas itu, saya mula merasa ringan dan terapung. Rupanya kami sudah berada di persekitaran graviti mikro.

“Pen dan buku turut terapung. Suasananya jelas berbeza dengan latihan penerbangan parabola yang dilalui.

“Kami hanya mengambil masa 528 saat untuk tiba ke orbit pada altitud 150 kilometer,” katanya.

Mengintai semula pemandangan di luar tingkap, Dr Sheikh Muszaphar mengakui terpegun melihat bumi yang lebih cantik daripada apa yang pernah dibayangkan.

“Segalanya nampak hebat dan menakjubkan. Perasaan saya bercampur antara sedih dan gembira bila memandang ke bumi.

“Jantung saya seolah-olah berhenti berdenyut sedangkan mata saya langsung tidak berkelip.

“Ia adalah pemandangan paling indah yang pernah saya lihat. Saya kagum dan terpaku dengan keindahan angkasa,” katanya.

Mereka bertiga berada dalam kapsul kecil itu selama enam jam.

“Selepas orbit dua kali di tempat pertemuan, kami dibenarkan membuka tali pinggang keledar. Yuri membuka hac di bahagian atas yang menyambungkan sebuah kompartmen kecil dan saya melayang dengan mudah.

“Kami berada dalam Soyuz dua hari, terhad di kompartmen kecil,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2016 @ 6:59am
d