mutakhir

Sesak nafas di puncak gunung

Oleh Farah Suhaidah Othman

Cameron Highlands: Seorang lagi pendaki dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika mendaki di puncak Gunung Berembun, di sini, petang kelmarin.

Lelaki berasal dari Hutan Melintang, Perak, dekat sini, mendaki gunung berkenaan bersama lima individu lain termasuk anak perempuannya berusia 12 tahun diserang sakit jantung kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Zainal Abidin Othman, mangsa dikenali sebagai Shaiful Anuar Ahmad Rafie, 41, yang bekerja sendiri dan mendaki gunung itu bersama sekumpulan lima wanita kira-kira jam 10.45 pagi melalui Sungai Pauh (Kem Slim) Tanah Rata, di sini, kelmarin.

Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui isteri mangsa yang menghubungi polis.

“Mangsa dikatakan mendaki gunung berkenaan melalui Sungai Pauh (Kem Slim) Tanah Rata, di sini, bersama lima wanita berusia 23 hingga 34 tahun termasuk anak perempuannya berusia 12 tahun.

“Kumpulan terbabit sampai ke puncak gunung pada jam 2.20 petang dan pada jam 3.05 petang mangsa tiba-tiba mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri.

“Anak perempuan mangsa menghubungi ibunya yang pada ketika itu berada di kaki gunung dan isteri mangsa menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 3.16 petang dan menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sebelum melancarkan operasi menyelamat pada jam 3.58 petang.

Zainal Abidin berkata, bomba turut membuka pusat kawalan di Blok Camalia Mardi, Tanah Rata, dengan kekuatan 10 anggota dan pasukan mencari serta menyelamat terdiri daripada lapan anggota bersama tiga orang awam mendaki gunung.

“Pada jam 5.40 petang, polis dimaklumkan mangsa ditemui dan disahkan meninggal dunia sebelum dibawa turun pada jam 8 malam serta diserahkan kepada kami untuk dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, bagi proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan juga mendapati kumpulan pendaki berkenaan tidak melaporkan di mana-mana balai polis berhampiran berkaitan pendakian mereka dan pemeriksaan tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kesan luka atau lebam serta unsur jenayah menyebabkan kematiannya.

Disiarkan pada: March 21, 2016 @ 7:07am
d