mutakhir

Hasrat 26 pekebun termakbul

Sepang: Seramai 26 pekebun kecil dari seluruh negara terpilih menunaikan umrah tahun ini yang ditaja sepenuhnya Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainal Abidin berkata, mereka yang dipilih berusia 60 tahun ke atas serta terbabit secara aktif dalam program pembangunan RISDA, aktiviti sosio ekonomi dan kemasyarakatan.

“Tajaan itu sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka dalam Pembangunan Industri Getah Malaysia.

“Keutamaan ini diberikan kepada mereka yang belum menunaikan haji dan umrah serta mempunyai tahap kesihatan baik,” katanya selepas melepaskan peserta Program Umrah Pekebun Kecil RISDA 2016 di sini, semalam.

Katanya, secara keseluruhan, RISDA memperuntukkan RM170,810 bagi membiayai pekebun kecil yang layak menunaikan ibadat umrah pada tahun ini.

Zahidi berkata, semua peserta yang berlepas semalam dijangka pulang ke tanah air pada 1 April depan.

Sementara itu, salah seorang peserta umrah, Mohd Zaki Abd Hamid, 60, melahirkan kesyukuran kerana terpilih menunaikan umrah pada tahun ini kerana sudah lama menanti untuk ke Tanah Suci.

“Saya belum pernah menunaikan umrah dan menganggap ini rezeki kepada saya kerana bukan mudah untuk dapat terpilih menunaikan ibadat di sana,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2016 @ 7:18am
d