mutakhir

Bukan keputusan mudah

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Keputusan memeluk Islam bukan satu perkara mudah, malah saya terpaksa merahsiakan pengislaman saya daripada keluarga selama setahun kerana tidak mahu melukakan hati mereka.

“Namun, saya bersyukur Allah tetapkan hati saya memilih jalan ini dan kesulitan saya dipermudahkan apabila keluarga akhirnya dapat menerima penghijrahan saya,”kata Nur Soffiyah Abdullah, 33, wanita Tionghua yang berkongsi cabaran ditempuhi selepas memeluk Islam pada Jun 2008.

Dia antara 75 saudara baharu yang menyertai Kem Solat Mualaf di Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, dekat Selangor baru-baru ini mengakui tertarik dengan agama Islam sejak berusia sembilan tahun selepas kerap bergaul dengan rakan Melayu di sekolah dan kolej.

Mengulas mengenai Kem Solat Mualaf, Soffiyah berkata, dia menyertai program itu berikutan mahu memperbaiki kemahiran tajwid dalam bacaan solat lima waktu.

“Memang saya tahu macam mana hendak solat, cuma program ini membantu saya memperbetulkan lagi mana-mana kelemahan bacaan terutama dalam menunaikan solat.

“Sebelum ini, saya mempelajari mengenai solat dalam buku rujukan selain bimbingan suami serta hanya berpeluang mengikuti kelas fardu ain selama setahun pada 2009 saja,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Cina Muslim He-Ping Noralina Ong berkata, program itu dijayakan bersama sukarelawan masjid dan Malaysian International Shipping Corporation (MISC) bagi membimbing mereka mempratikkan ajaran Islam terutama solat lima waktu.

“Kita dapati ada mualaf walaupun sudah lama memeluk Islam masih tak tahu macam mana hendak menunaikan solat dengan cara betul.

“Justeru itu, program ini dilaksanakan untuk membimbing golongan ini menghayati Islam terutama dari aspek solat lima waktu yang amat penting kepada kita,”katanya.

Menurutnya, peserta terdiri daripada mualaf Cina, Myanmar, Filipina, Sabah, Portugis dan Indonesia itu diberi pendedahan dalam aspek mengenali rukun serta bacaan ayat dalam solat.

“Setiap peserta dibimbing dengan seorang sukarelawan. Mereka diajar mempraktikkan solat dan menghafal ayat dan bacaan dalam solat selain cara mengambil wuduk.

“Di samping itu, acara lain juga diselitkan dalam program ini seperti mewarna, permainan serta membuat kek untuk menceriakan anak-anak mualaf berusia tiga hingga sembilan tahun,” katanya.

Katanya, penganjuran program itu berjaya mengumpul sumbangan seperti telekung, sejadah dan makanan ringan.

Disiarkan pada: March 22, 2016 @ 7:19am
d