mutakhir

Perbicaraan dua hari

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes penyanyi rock Awie yang dituduh menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun di depan kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalan Tun Razak, dua tahun lalu ditetapkan selama dua hari, 10 dan 11 Mei depan.

Majistret Husna Dzulkifly menetapkan tarikh itu ketika kes dihadapi Awie atau Ahmad Azhar Othman, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) disebut di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Mahkamah turut menetapkan 14 April depan untuk mendengar keputusan representasi dikemukakan Awie bagi mengkaji semula pertuduhan dihadapinya dan memberikan pengecualian kehadiran penyanyi itu pada hari berkenaan.

Terdahulu, peguam Hazman Harun memaklumkan pihaknya menghantar surat reprentasi ke Jabatan Peguam Negara pada 18 Mac lalu, namun sehingga kini tiada keputusan.

“Selain itu, saya meminta mahkamah mengecualikan kehadiran OKS pada tarikh keputusan representasi kerana Awie mempunyai komitmen lain pada tarikh berkenaan,” katanya.

Dalam prosiding itu juga, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memaklumkan pihaknya mendapat salinan surat representasi daripada pihak peguam dan memohon tarikh perbicaraan bagi kes itu sementara menunggu keputusan representasi.

Pada 15 Februari lalu, Awie mengaku tidak bersalah atas kesalahan dilakukan jam 3 petang, 2 Jun 2014 dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Majistret Ampang melepaskan dan membebaskan penyanyi yang popular dengan lagu Tragedi Oktober itu daripada tuduhan mencederakan Rozana selepas dia membayar kompaun RM10,000 kepada wanita itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Disiarkan pada: March 22, 2016 @ 8:48am
d