mutakhir

Ajal di katil asrama

Oleh Siraj Mohd Zaini

Klang: Penghuni di asrama sebuah kolej swasta di Bukit Tinggi di sini, gempar apabila seorang penuntutnya meninggal dunia mendadak di katilnya.

Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, mangsa, Luqman Hakim Shamsuddin, 18, disedari tidak bernyawa ketika dikejutkan rakannya.

Warden asrama, D Divakaran berkata, dia dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh beberapa penghuni lain sebelum membuat panggilan kecemasan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

“Saya lihat dia (arwah) mempunyai perwatakan yang baik. Beberapa jam sebelum kejadian, dia makan bersama beberapa rakan lain.

“Dia tidak memaklumkan menghidapi sakit atau sebagainya. Cuma di dalam begnya terdapat beberapa jenis ubat,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat HTAR di sini, semalam.

Sementara itu, ibu arwah, Nor Mahfuzah Bakar, 43, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu tidak menghidap penyakit kronik kecuali alahan terhadap sesetengah makanan.

Katanya, anaknya itu baru saja mendaftar masuk ke kolej berkenaan awal bulan ini dan mengambil sijil jurusan elektrik.

“Dia memang mempunyai alahan. Ada beberapa jenis ubat dibawa bersama ketika mendaftar masuk ke kolej.

“Kami dimaklumkan mengenai kematiannya pagi tadi (semalam) disebabkan masalah jantung dan bergegas ke hospital meskipun mengambil masa lebih empat jam untuk tiba,” katanya.

Jenazah Luqman dibawa pulang ke kampungnya di Pulau Pangkor, Perak dan dikebumikan malam semalam.

Disiarkan pada: March 22, 2016 @ 9:10am
d