mutakhir

RM4b bolos akibat penyeludupan

Oleh Norul Awatif Romli

Sungai Petani: Kerajaan kerugian RM4 bilion dalam bentuk hasil cukai tidak berbayar akibat sindiket rokok seludup yang menguasai 36.9 peratus daripada keseluruhan pasaran rokok tempatan sepanjang tahun lalu.

Berdasarkan kajian dibuat sebuah firma perunding menunjukkan penguasaan rokok seludup di pasaran tempatan meningkat 3.2 peratus berikutan kenaikan cukai eksais tembakau yang menyumbang kepada kenaikan harga rokok berbanding tempoh sama tahun 2014.

Peningkatan harga rokok itu menyebabkan rokok seludup menjadi pilihan.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Penguatkuasaan dan Pematuhan Datuk Matrang Suhaili berkata, kegiatan penyeludupan rokok menyebabkan kerajaan kehilangan kira-kira RM4 bilion iaitu hasil yang tidak dapat dikutip.

“Fakta ini jelas menggambarkan betapa besarnya hasil yang hilang akibat kegiatan penyeludupan rokok,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ops Pacak Peringkat Kedah 2016 di Amanjaya, di sini, semalam.

Ops Pacak 2016 berkuat kuasa selama 13 hari bermula semalam dengan disertai enam agensi membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Agensi Keselamatan Sempadan (AKS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan diketuai JKDM.

Matrang berkata, beberapa strategi baru dirancang tahun ini bagi meningkatkan keberkesanan operasi seperti reman ke atas peruncit yang ditahan kerana menjual, mengedar dan memiliki rokok atau minuman keras tidak sah.

Antara strategi terbaru JKDM adalah menubuhkan skuad khas bagi melindungi pegawai dan anggota penguat kuasa ketika menjalankan operasi membanteras aktiviti penyeludupan serta pengedaran komoditi utama negara.

“Apabila membuat tugasan penguatkuasaan, kita menerima pelbagai ancaman seperti mahu dicederakan dan ugutan bunuh, malah kenderaan operasi JKDM turut dirempuh atau dibaling dengan molotov koktel oleh kumpulan tonto yang bertindak mahu mematahkan serbuan,” katanya.

Selain itu, katanya, peruncit warga asing yang ditahan juga boleh direman dan didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, selain membatalkan lesen perniagaan atau menarik balik penyewaan premis dimiliki agensi kerajaan.

Sehingga Februari lalu, sebanyak 45,473 premis menjual rokok diperiksa dengan 11,473 kes dikesan membabitkan anggaran nilai rampasan berjumlah RM127.26 juta bermula tempoh Februari 2010.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,591 individu disyaki terbabit dalam kegiatan menjual atau mengedar rokok seludup, manakala 3,280 daripadanya sudah didakwa di mahkamah,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2016 @ 8:22am
d