mutakhir

Dedah keselamatan siber

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Wartawan IT Harian Metro, Afiq Hanif menerima Anugerah Khas Cybersecurity Malaysia yang menghargai sokongan media tempatan dalam memberi pendedahan mengenai keselamatan siber di negara ini.

Afiq antara enam penerima anugerah berkenaan, selain wartawan Meja Berita, Berita Harian (BH), Wan Noorhayati Wan Alias.

Pada majlis sama, BH turut menerima Anugerah Media Cetak Paling Menyokong Cybersecurity Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Seri Madius Tangau berkata, media memainkan peranan penting menyebarkan maklumat kepada orang ramai terutama perkara dan isu membabitkan mereka.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini dalam era pembangunan teknologi menjadikan kita perlu bergantung kepadanya untuk menerima maklumat terutamanya media sosial yang kini digunakan secara meluas.

“Media memainkan peranan penting dalam mempengaruhi dan mengubah persepsi khalayak tetapi yang menjadi keutamaan ketika ini adalah maklumat yang disampaikan mestilah betul dan tepat serta beretika,” katanya dalam ucapan Hari Penghargaan Cybersecurity Malaysia di sini, semalam.

Pada majlis itu, dua kategori anugerah disediakan iaitu Anugerah Media Paling Menyokong Cybersecurity dan Anugerah Penghargaan Individu. Setiap penerima membawa pulang sijil penghargaan.

Bagi Anugerah Penghargaan Individu adalah kali pertama diadakan bagi mengiktiraf sokongan penulis yang terdiri daripada wartawan dan editor yang memaparkan pelbagai isu keselamatan siber.

Madius berkata, pihaknya menghargai jasa media dalam memupuk kesedaran orang ramai mengenai isu keselamatan siber dan membantu meningkatkan imej Cybersecurity Malaysia sebagai organisasi yang boleh dipercayai dalam keselamatan siber.

“Saya dimaklumkan terdapat 1,000 liputan mengenai isu keselamatan siber bersamaan nilai perhubungan awam mencecah RM15 juta. Namun, perkara paling penting ialah kualiti laporan dan maklumat yang jelas dapat disampaikan kepada orang ramai,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2016 @ 8:41am
d