mutakhir

Dua jam kaut RM60 [METROTV]

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: “Dalam tempoh dua jam saya mampu memperoleh RM60 hasil mengemis di hadapan pintu bank di bandar raya ini, dengan wang itu sebahagiannya saya gunakan untuk membeli bekalan dadah.

“Dengan hasil mengemis itu juga saya gunakan untuk membayar sewa hotel bajet yang disewa secara bulanan sebanyak RM350 sebulan,” kata Abdullah Abdul Rahman, 44, (bukan nama sebenar) yang ditahan dalam Operasi Khas dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya, dia hanya mengemis selama satu jam pada sebelah pagi dan satu jam pada waktu malam di hadapan pintu bank.

Katanya, habuan diperoleh hasil mengemis di hadapan pintu bank akan digunakan membeli pil kuda dan morfin bagi menghilangkan ketagihan.

“Berbekalkan al-Quran ditambah fizikal saya yang mengalami kecacatan akibat terbabit kemalangan kira-kira lima tahun lalu lebih memudahkan saya untuk menarik perhatian orang ramai apabila saya mengemis di kawasan itu.

“Renungan ke arah al-Quran ketika mengemis mampu menambah tarikan belas ihsan kepada pengunjung bank dan mendorong mereka untuk menghulurkan sumbangan,” katanya.

Menurutnya, biasanya RM1 dan RM2 dihulurkan kepadanya tetapi tidak kurang yang memberi RM5 hingga RM10 bergantung kepada individu.

Katanya, dia pernah ditahan AADK atas kesalahan sama di hadapan sebuah bank pada tahun lalu tetapi memikirkan pulangan yang lumayan tanpa melakukan sebarang pekerjaan dia tetap melakukan aktiviti itu.

Seorang lagi penagih, Mohd Jusoh Mazlan, 38, (bukan nama sebenar) berkata, dia mampu memperoleh RM30 sehari hasil mengemis di hadapan pintu bank.

“Wang yang diperoleh digunakan untuk membeli pil kuda selain perbelanjaan lain dan dengan cara itu saya lihat lebih mudah untuk mendapatkan wang.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja tetapi selepas disahkan positif HIV hasil melakukan hubungan seks rambang dan keadaan kesihatan yang semakin merosot mendorong saya memilih untuk mengemis,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan tidak terurus itu dia mampu menarik simpati orang ramai dan kerja itu dilihat mudah untuk memperoleh wang segera bagi menampung perbelanjaan membeli dadah.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu Hafiz Hassan berkata, tangkapan dilakukan terhadap penagih mengemis itu selepas pihaknya menerima aduan orang awam.

“Penagih berkenaan menjadikan hadapan pintu bank sebagai tempat untuk mereka mengemis dan sikap pemurah orang ramai mengundang kepada berlakunya aktiviti itu secara berterusan.

“Pihak kami berharap orang ramai menyalurkan sumbangan dan derma mereka ke tempat yang betul dan bukannya sesuka hati sehinggakan kepada penagih juga mereka turut menderma,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua mereka itu mendapati masing-masing positif pil kuda dan morfin.

Disiarkan pada: March 24, 2016 @ 7:00am
d