mutakhir

IS makin melampau

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur : Seramai 15 individu disyaki ahli kumpulan pengganas Daish di negara ini membabitkan anggota polis dan juruteknik kapal terbang dikesan cuba mengumpulkan bahan kimia yang dikenal pasti mampu dijadikan bom untuk menyerang negara ini.

Semua suspek yang diberkas polis sejak Selasa lalu dikatakan menerima arahan pemimpin Daish warga Malaysia di Syria dikenali sebagai Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.

Rancangan jahat itu bagaimanapun berjaya dihidu dan dipatahkan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman (E8) hasil penahanan semua individu termasuk empat wanita yang disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas Daish.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua suspek berusia 22 hingga 49 tahun itu ditahan melalui operasi khas sejak Selasa hingga semalam.

Katanya, tangkapan suspek dilakukan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor Kuala Lumpur dan Terengganu.

“Lima daripadanya adalah pekerja swasta dan salah seorang daripada mereka bertugas sebagai juruteknik kapal terbang.

“Individu selebih yang ditahan dikenal pasti bekerja sebagai anggota polis, imam masjid, suri rumah, pelajar dan (dua) penganggur.

“Empat wanita yang ditahan itu sudah merancang untuk menyusup keluar dari Malaysia bagi menyertai kumpulan pengganas Daish di Syria,” katanya.

Khalid berkata, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu disyaki cuba mendapatkan bahan kimia untuk mencipta bom.

Katanya, suspek turut menjalin hubungan kerja dengan kumpulan pengganas lain di rantau Asia Tenggara.

“Siasatan mendapati, mereka mendapat arahan dari Muhammad Wanndy Mohamed Jedi iaitu pemimpin Daish Malaysia yang berada di Syria untuk melancarkan serangan di Malaysia.

“Malah, mereka dikesan terbabit dalam aktiviti menggodam beberapa laman web milik kerajaan di negara ini,” katanya.

Menurut Khalid, siasatan juga mendapati terdapat juga suspek menjadi dalang dalam mengatur penyusupan masuk dua suspek pengganas warga asing dari Malaysia ke sebuah negara di Asia Tenggara.

Katanya, suspek turut dikesan terbabit dalam aktiviti merekrut dan menghantar rakyat Malaysia untuk menyertai kumpulan pengganas Daish di Syria.

“Mereka mengumpulkan dana di kalangan penyokong Daish di negara ini untuk disalurkan kepada sebuah kumpulan pengganas gabungan Daish yang beroperasi di Selatan Filipina dan kepada rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di Syria,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2016 @ 10:32am
d