mutakhir

Geng Azhar lagak KDRM

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Muncul lengkap memakai jaket berlogo Kastam Diraja Malaysia (KDRM) selain bijak berlakon sebagai pegawai KDRM yang mahu memeriksa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di premis perniagaan.

Malah kumpulan penjenayah ‘Geng Azhar’ ini mempunyai kad kuasa KDRM palsu untuk meyakinkan peniaga yang disamun.

Itu taktik licik digunakan sekumpulan individu termasuk sepasang suami isteri untuk menyamun enam peniaga kedai runcit.

Dalam kejadian terbaru jam 9.30 Isnin lalu, seorang peniaga di Taman Taming Jaya, Balakong, di sini, didatangi tiga lelaki dan seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai KDRM cawangan Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, suspek kemudian menyelongkar kedai sebelum mengambil pelbagai jenis barangan termasuk rokok, kad tambah nilai dan produk jamu.

“Semua barangan bernilai RM4,000 itu dimasukkan ke dalam tiga kotak sebelum dimuatkan ke dalam van.

“Sebelum beredar, suspek memberitahu sekiranya mahu menuntut semula barangan itu, peniaga perlu hadir ke pejabat kastam di Putrajaya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, peniaga itu yang memeriksa laci mendapati wang tunai RM1,900 hilang sejurus suspek meninggalkan kedai.

“Keesokan harinya, peniaga itu pergi ke Putrajaya untuk mendapatkan kepastian namun pihak KDRM menafikan pegawai mereka terbabit melakukan pemeriksaan ke kedai runcit seperti didakwa.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Willey berkata, berdasarkan laporan itu sepasukan anggota polis diketuai Asisten Superintendan Mohd Mazuri Mohd Nizar menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Tasik Biru, Kundang, Rawang, sebelum menahan empat suspek jam 1 pagi kelmarin.

“Pihak kami merampas pelbagai barangan di rumah suspek termasuk enam telefon bimbit, wang tunai RM500, 134 keping kad tambah nilai, lima jaket mempunyai logo KDRM dan sepasang pakaian seragam pegawai polis dipercayai digunakan bagi menyamar ketika melakukan jenayah.

“Penahanan empat suspek terbabit membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek di flat di Desa Mentari, Petaling Jaya jam 3 pagi kelmarin,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan polis membuat rampasan sebuah van Toyota Hiace dipercayai digunakan suspek untuk menyamar sebagai penjawat awam bagi melakukan jenayah.

“Suspek mengaku terbabit dalam enam kes iaitu dua di Kajang manakala empat kes lagi di kawasan Sungai Buloh dan Subang.

“Kumpulan ini dipercayai aktif sejak tahun lalu. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek berusia 30 hingga 55 tahun terbabit positif dadah syabu,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2016 @ 10:38am
d