mutakhir

Martabat bahasa

Putrajaya: Kerajaan tidak akan berganjak untuk terus menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi pendidikan termasuk mempertahankannya sebagai bahasa perdana di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha mempertahankan Bahasa Melayu diteruskan biarpun ruang tetap diberikan kepada bahasa Inggeris dan bahasa lain dalam sistem pelajaran teras negara.

Beliau berkata, kerajaan menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempergiatkan usaha kerjasama dengan institusi di luar negara sebagai usaha mengembang dan memantapkan dunia keilmuan tamadun Melayu dan Bahasa Melayu.

“Pada masa ini, kerajaan menubuhkan beberapa Kursi Pengajian Melayu di universiti luar negara bagi kerjasama mengadakan kolaborasi untuk mengkaji pendekatan lain membangunkan bahasa Melayu ke luar negara.

“Sebenarnya, usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia memerlukan inisiatif dan ikhtiar yang bersepadu serta inklusif,” katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2016 (PABM 2016) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Katanya, bahasa Melayu kini berdepan cabaran dalam era moden apabila pencemaran bahasa berlaku menerusi jaringan media sosial yang berleluasa seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook dan Twitter.

Najib berkata, usaha perlu dilakukan menggunakan kemudahan teknologi, maklumat dan komunikasi untuk memperluas bahasa Melayu kepada masyarakat bukan penutur supaya bahasa Melayu dilihat dominan dan relevan untuk sepanjang zaman.

Disiarkan pada: March 26, 2016 @ 9:34am
d