mutakhir

Hanya ada dua bulan

Melaka: Hanya dua bulan masa yang ada bagi Shahar Dollah, 44, dan anak perempuannya, Nor Fithrie, 18, mengumpul wang RM8,000 untuk membeli urat tiruan bagi membolehkan isteri, Norhayati Atan yang rosak kedua-dua buah pinggang sejak enam tahun lalu menjalani rawatan dialisis.

Urat tiruan itu umpama penyambung nyawa bagi Norhayati, 41, berikutan hampir semua urat pada kedua-dua tangannya tidak lagi sesuai bagi proses dialisis kerana digunakan secara kerap sebelum ini.

Lebih membimbangkan penggunaan berterusan pada urat di bahagian sama dikhuatiri menyebabkan Norhayati mengalami jangkitan kuman.

Kini, proses dialisis terhadap wanita itu terpaksa menggunakan urat pada pahanya.

Wartawan yang berkunjung ke gerai menjual nasi lemak 50 sen dan kuih-muih diusahakan tiga beranak itu di persimpangan Taman Krubong, di sini, menemubual Shahar bagi berkongsi kisahnya.

“Sebagai suami, saya pernah terdetik mendermakan sebelah buah pinggang kepada isteri, namun hasrat itu terbantut berikutan pinggang saya sakit kerana pernah terjatuh sebelum ini.

“Saya tidak mengharapkan sumbangan kerana masih mampu bekerja sebaliknya berharap orang ramai memberikan semangat kepada isteri mengharungi ujian ini.

“Norhayati sebelum ini mendapat perhatian pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Semua bantuan ini saya gunakan bagi membiayai rawatan dialisis dan 12 suntikan perlu dijalani Norhayati dalam sebulan.

“Isteri saya tidak boleh berjalan jauh atau berdiri lama kerana cepat letih serta kerap haus dan lapar menyebabkan saya memutuskan membawanya ke mana saja termasuk menemani kami berniaga.

“Sebelum ini kami mengusahakan restoran dan menjual ayam golek dengan pendapatan harian RM1,000, namun masalah buah pinggang isteri semakin serius dan disahkan menghidap darah tinggi menyebabkan kami mengambil keputusan berhenti berniaga.

“Kami mengusahakan gerai ini dari jam 11 pagi hingga 7 malam. Cukuplah rezeki kami. Apa yang penting, saya dan Nor Fithrie gembira kerana Norhayati berada di samping kami sepanjang masa dan bergilir-gilir menjaga serta menemaninya menjalani rawatan di Pusat Dialisis di Taman Merdeka,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2016 @ 8:07am
d