mutakhir

Jelajah jenayah

Oleh Shamsul Munir Safini

Butterworth: Sepasang kekasih berusia 24 tahun sanggup berkelana ke negeri ini semata-mata untuk memecah tabung masjid bagi mendapatkan wang mudah.

Namun, jenayah dilakukan pasangan berasal dari Pengerang, Johor tumpas selepas polis memberkas mereka di sebuah hotel murah di sini, pagi Khamis lalu.

Malah, ketika dicekup pada jam 2.15 pagi, pasangan terbabit dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian pecah tabung masjid awal bulan lalu di Bagan Ajam, Pongsu Seribu dan Pajak Song, selain menerima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari masjid yang dipecah masuk suspek.

“Hasil siasatan, polis menggerakkan usaha memburu kedua-dua suspek sebelum memberkas mereka di hotel murah di Kampung Gajah di sini, pagi Khamis lalu.

“Ketika dicekup, mereka tidak sedarkan diri akibat pengaruh dadah sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Shell bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelancongan Malaysia, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bersama penduduk setempat di Shell Mak Mandin, di sini, semalam.

Azmi berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dengan tiga kejadian pecah tabung masjid di Bagan Ajam serta 12 lagi kes di luar daerah ini.

Beliau berkata, mereka menjelajah di seluruh Semenanjung bermula dari Pengerang, Johor dan singgah menyamun tabung masjid di beberapa daerah sebelum tiba di Pulau Pinang.

“Mereka datang dan memecah tabung masjid tidak kira waktu dan kerap melakukannya pada waktu petang sebelum solat Asar.

“Kedua-duanya datang menaiki motosikal sebelum menggunakan peralatan dibawa seperti playar dan dawai bagi memecah tabung di situ,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2016 @ 8:19am
d