mutakhir

Penyamun tampar muka kebas duit di kaunter [METROTV]

Oleh myMetro

Seremban: Seorang lelaki berpura-pura mengeluarkan wang daripada dompet untuk membeli barang sebelum menyamun seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di Taman Permai, Fasa 3, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 10.50 malam itu, lelaki bertopi keledar memasuki premis berkenaan dan berlakon mahu membeli barang dengan mengeluarkan dompetnya ketika berada di kaunter.

Sumber berkata, suspek bagaimanapun mengarahkan pekerja wanita berusia 20 tahun itu membuka mesin juruwang dan menyerahkan wang.

“Mangsa enggan menuruti arahan itu menyebabkan suspek menampar muka mangsa dan membaling botol air.

“Mangsa yang ketakutan akur dan membuka mesin juruwang berkenaan sebelum suspek melarikan RM159. Suspek disyaki melarikan diri bersama seorang lagi rakannya yang menunggu di luar premis dengan menaiki motosikal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, polis menerima laporan kejadian dan giat mengesan kedua-dua suspek berusia 27 dan 28 tahun berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395, Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 28, 2016 @ 5:14am
d