mutakhir

PPUKM prihatin nasib penghuni daif

Oleh myMetro

Gombak: Prihatin terhadap kedaifan ditanggung 60 penghuni rumah kebajikan Dar Al-Asnaf Al-Fateh di sini mendorong 60 kakitangan dan pelajar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban mereka.

Ketua Hal Ehwal Jaringan Masyarakat dan Industri Fakulti Perubatan PPUKM Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pihaknya ke rumah kebajikan berkenaan yang terletak di Batu 11, Jalan Pahang Lama di sini kerana kedudukannya yang tersorok dan kurang mendapat perhatian penyumbang.

“Tambahan pula apabila kami mendapat tahu rumah kebajikan ini tidak pernah mendapat tajaan tetap daripada mana-mana pihak untuk menanggung kos operasinya menjaga kebajikan kanak-kanak dan remaja berusia tiga hingga 18 tahun,” katanya ketika ditemui pada program penyampaian bantuan di rumah kebajikan berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Dar Asnaf Al-Fateh, Johani Ibrahim.

Menurut Sharifa, selain menyumbang makanan dan barangan keperluan harian bernilai RM5,000, pihaknya turut mengadakan gotong-royong, pemeriksaan dan kempen kesihatan.

“Ia membabitkan 40 sukarelawan terdiri daripada pelajar diploma dan sarjana kejururawatan dan kedoktoran Fakulti Perubatan bagi mendedahkan mereka kepada program kemasyarakatan sebegini,” katanya.

Sementara itu, Johani yang juga bekas peserta Pencetus Ummah musim kedua (PU2) berkata, pihaknya amat terharu di atas sumbangan berkenaan.

“Rumah kebajikan ini memerlukan kira-kira RM15,000 sebulan untuk kos makanan dan minuman penghuni, yuran sekolah agama serta bil utiliti dan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos perbelanjaan kami.

“Walaupun sudah beroperasi sejak 1985, kami kekurangan dana disebabkan kedudukan rumah kebajikan di atas tanah lesen pendudukan sementara yang menyukarkan proses pemberian bantuan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menggunakan akaun Bank Islam 12225010015165 di atas nama Persatuan Kebajikan Al-Fateh Malaysia yang didaftarkan sebagai pengelola Dar Al-Asnaf Al-Fateh.

Disiarkan pada: March 28, 2016 @ 5:16am
d