mutakhir

Tiga kaki rapuh

Oleh Nazdy Harun

Marang: Keluarga kaki rapuh. Mungkin jarang didengari, namun itu yang berlaku kepada Nurul Fatihah Hashim, 20, dan adik kembarnya, Muhamad Shafiq, 20, serta abang mereka, Asrul, 28.

Ketiga-tiga beradik itu menghidap osteoporosis iaitu penyakit kerapuhan tulang.

Malah, Nurul Fatihah pernah mengalami 15 kejadian patah tulang kaki dan terakhir dialaminya tiga tahun lalu.

Penyakit berkenaan dikesan seawal usianya enam tahun apabila tulangnya mudah patah apabila terhantuk objek keras.

Mungkin kebiasaannya individu patah tulang berasa kesakitan yang amat sangat, bagaimanapun bagi insan istimewa itu, dia hanya berasa kebas.

Menurut Nurul Fatihah, hanya tulang kakinya sensitif apabila terhantuk pada objek tumpul dan apabila patah, ia perlu melalui proses seperti individu normal iaitu perlu membetulkan semula tulang berkenaan sama ada mendapat rawatan di hospital mahupun menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional.

“Dilahirkan cacat kedua-dua kaki, namun saya masih mampu mengensot. Sekiranya terlanggar sesuatu objek, boleh mendatangkan kecederaan pada kaki berikutan tulang pada bahagian itu amat sensitif,” katanya yang menetap di Taman Rahmat, di sini.

Kekurangan itu mengakibatkan dia sering dicaci terutama ketika zaman persekolahan, namun dia menganggap ia satu cabaran.

Sementara itu, Muhamad Shafiq berkata, dia mengalami masalah sama apabila tulang kaki kanannya sudah empat kali patah.

“Sebelum ini kerusi merupakan ancaman utama kerana sekiranya terhantuk, ia boleh mengakibatkan berlaku kecederaan yang tidak diingini,” katanya.

Namun, Shafiq lebih bernasib baik kerana tidak seteruk kakaknya dan dia mampu berjalan seperti insan lain manakala kakaknya terpaksa berkerusi roda akibat mengalami kecacatan kaki.

Pasangan kembar itu turut memberitahu abang mereka, Asrul juga menerima nasib sama.

Bagaimanapun, hanya tiga beradik berkenaan yang mengalami masalah kerapuhan tulang manakala lima lagi yang lain normal dan tidak berdepan penyakit berkenaan.

Bapa mereka, Hashim Omar, 57, turut dilahirkan cacat kedua-dua anggota kakinya dan terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.

Disiarkan pada: March 29, 2016 @ 9:15am
d