mutakhir

Enrolmen 'tunjang' kekuatan

Oleh myMetro

Rompin: Kerjasama antara warga pendidik dan ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Denai, dekat sini, menjadi penanda aras peningkatan pencapaian dalam kalangan muridnya.

Hubungan erat antara keduanya dalam menjayakan setiap program dan aktiviti sekolah menjadi pembakar semangat murid sekolah itu mencatat kejayaan cemerlang dalam pelajaran.

Guru Besarnya, Muhamad Kalib berkata, atas sebab itu juga, dia menjadikan enrolmen murid sebagai ‘tunjang’ kekuatan dalam memastikan prestasi sekolah itu dapat dipertingkatkan dari setahun ke setahun.

“Dengan kehadiran murid melebihi 82 peratus setiap tahun, komitmen guru dan ibu bapa, kegigihan murid untuk belajar, saya optimis suatu masa nanti sekolah ini dapat mencapai sasaran Band 1 sama seperti dimiliki SK Tasik Chini, Pekan,” katanya.

Atas kerjasama itu, sekolah dengan 53 murid termasuk 17 dari Kampung Mentelong di sini dan 11 gurunya berjaya membantu muridnya mencapai sasaran dari Band 5 kepada Band 3 dalam tempoh lima tahun.

“Akses pendidikan berkualiti adalah ‘laluan’ dan jaminan kejayaan murid dan sudah semestinya kami di sini berusaha untuk memartabatkan mereka seiring dengan pelajar arus perdana.

“Dalam tempoh lima tahun bermula 2011, prestasi murid menunjukkan peningkatan memberangsangkan sama ada dari segi akademik mahupun ko-kurikulum,” katanya.

Menurutnya, SK Denai dengan visi ‘SK Denai Mencapai Kecemerlangan Bersepadu pada 2016’ mengambil inisiatif merangsang kehadiran murid dengan memperkenalkan pelbagai aktiviti bagi tujuan itu.

Disiarkan pada: March 29, 2016 @ 9:35am
d