mutakhir

Banteras along

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengepalai operasi membanteras kegiatan peminjam wang haram atau along secara menyeluruh dan berkesan.

Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam dalam syornya mahu KDN merangka pelan jangka panjang termasuk menerajui operasi membanteras kegiatan yang banyak menyusahkan orang ramai.

Beliau berkata, along yang ‘bertaburan’ di seluruh negara kini seolah-olah tidak takut dengan undang-undang dan pihak berkuasa.

“Saya semasa dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Biro Kebajikan bertemu dengan banyak kes, mangsa dan berjumpa dengan along ini.

“Mereka sebelum memberi pinjaman seperti adik-beradik tetapi selepas memberi pinjaman dengan cat merah, mengacau dan mengganggu,” katanya.

Sementara itu, M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang menyokong cadangan Abdul Azeez mahu kerajaan membanteras kegiatan along secara besar-besaran.

Katanya, kegiatan peminjam wang haram itu membawa kesan negatif kepada peminjam, ada antaranya terpaksa melakukan jenayah seperti mencuri dan merompak untuk membayar balik faedah tidak munasabah yang dikenakan oleh along.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed memberi jaminan akan berbincang dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyelaras operasi terbabit.

“KDN prihatin dengan kebimbangan Ahli Parlimen, kerajaan perlu mempunyai iltizam politik untuk membanteras kegiatan itu yang wujud walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh pihak berkaitan.

“Jika itu cadangannya, KDN akan bincang dengan KPKT supaya kita boleh menerajui bagi memerangi kegiatan ini,” katanya.

Dalam pada itu menjawab soalan asal V Sivakumar (DAP-Batu Gajah) mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk membanteras kegiatan along, Nur Jazlan berkata, KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya terbabit dengan penguatkuasaan mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dalam bidang kuasa KPKT.

Katanya, sebanyak 351 along ditangkap dan 44 daripadanya didakwa di mahkamah tahun lalu berbanding 98 orang yang ditangkap pada 2014 dan 90 daripadanya telah didakwa di mahkamah.

Menurutnya, PDRM juga memberikan perlindungan keselamatan kepada pegawai pihak berkuasa tempatan ketika menjalankan aktiviti penurunan poster dan iklan along.

“Kita juga sebarkan poster dan brosur untuk mendidik orang ramai mengenai cara mengenali peminjam berlesen dan peminjam haram serta sebaran mengenai agensi yang menawarkan pinjaman mikro seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2016 @ 8:32am
d