mutakhir

Peluang kedua

Oleh Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Program parol dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia ibarat latihan kepada banduan bercampur dengan masyarakat sebelum mereka bebas sepenuhnya.

Seorang banduan diparol (ODP) yang hanya mahu dikenali sebagai Jan, 26, mengakui bersyukur terpilih menjalani perintah parol, selain diterima baik majikan dan rakan sekerja lain.

“Awalnya saya tidak dapat memikirkan keadaan selepas bebas dari penjara kerana mempunyai rekod jenayah.

“Walaupun sering dimaklumkan kami boleh berjaya seperti orang lain, tetapi terus terang saya kurang yakin memikirkan pandangan orang lain apabila mengetahui saya bekas banduan,” katanya.

Jan yang berasal dari Tawau berkata, ketika terpilih menjalani perintah parol, dia berdebar menunggu reaksi majikan dan rakan sekerja lain apabila mula bekerja kira-kira dua bulan lalu.

“Ternyata pandangan negatif ini meleset apabila majikan dan dua rakan lain menerima saya dengan baik.

“Malah majikan memberi layanan sama rata dengan pekerja lain,” katanya.

Rakannya yang mahu dikenali sebagai Rizal, 24, berkata, kesilapan terjebak dengan penagihan dadah menyebabkannya dipenjara 14 bulan.

“Saya melihat parol ini tempat untuk kami bergaul semula dengan orang ramai, seterusnya menjadi sebahagian daripada masyarakat tanpa berasa terpinggir,” katanya.

Tambah Rizal, selepas dua bulan bekerja, keyakinannya bercampur dengan masyarakat semakin tinggi terutama ketika melayan pelanggan.

Terdahulu, Jan dan Rizal antara 70 ODP di seluruh negeri dibenarkan bekerja bertujuan mendekatkan diri dengan masyarakat sebelum dibebaskan.

Pengarah Penjara Negeri Sabah Suria Idris berkata, setakat ini 50 majikan mengikuti program parol dianjurkan pihaknya.

“Saya berharap lebih ramai majikan menyertai program ini dan tidak perlu khuatir kerana ODP yang ditempatkan dipantau sepenuhnya pihak kami,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2016 @ 8:37am
d