mutakhir

'Kotai' berdarah [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Seorang lelaki warga Myanmar yang bekerja sebagai pekerja binaan maut dipercayai dibunuh rakan sekerjanya di tapak pembinaan di Tawas, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa, Kyaw Ye Ang, 26, ditemui berlumuran darah dalam rumah kongsi di tapak pembinaan itu oleh seorang lelaki tempatan yang melaporkan kepada polis.

Sumber berkata, sepasukan polis yang tiba di lokasi kejadian menemui mayat mangsa di dalam rumah berkenaan dan mangsa dipercayai dibunuh dengan dibelasah menggunakan botol arak.

Kata sumber itu, pemeriksaan di dalam rumah kongsi itu menemui botol arak dan mangsa dipercayai mabuk bersama rakan sekerjanya sebelum pergaduhan berlaku antara mereka.

“Beberapa botol arak ditemui dalam rumah kongsi itu manakala mayat mangsa ditemui berlumuran darah.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” kata sumber itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut dijalankan.

Disiarkan pada: March 30, 2016 @ 8:44am
d