mutakhir

Gara-gara nombor giliran palsu

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Amirol Amin Abu Bakar

Petaling Jaya: Proses permohonan tapak bazar Ramadan di Stadium Petaling Jaya di sini, bertukar kecoh apabila sekumpulan individu menggunakan nombor palsu ketika membeli borang permohonan berkenaan, semalam.

Kumpulan itu dipercayai menipu supaya mereka dapat memotong barisan berikutan borang permohonan disediakan terhad bagi setiap lokasi bazar.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zainun Zakaria berkata, berlaku sedikit kekecohan ketika pengagihan nombor giliran, namun kejadian itu tidak serius seperti tersebar di media sosial.

Menurutnya, wujud pertengkaran mulut, namun tiada pergaduhan atau tumbuk-menumbuk berlaku di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, MBPJ menafikan khabar angin tersebar melalui WhatsApp dan media sosial berhubung pergaduhan besar yang berlaku akibat berebut tapak bazar Ramadan.

“Orang ramai tidak patut bertindak melulu dengan menyebarkan perkara belum pasti dan menunggu laporan pihak berwajib supaya tiada salah faham.

“Kekecohan itu bagaimanapun diselesaikan pegawai bertugas,” katanya.

Zainun berkata, segelintir individu yang berada di lokasi itu tidak wajar menyalahkan MBPJ berikutan tawaran tapak bazar dimaklumkan sejak 9 Mac lalu.

“Malah, penjualan borang dilakukan secara ‘siapa datang awal dilayan dahulu’.

“Jadi, jika mereka mahu mendapatkan tapak perniagaan di kawasan diinginkan, mereka perlu datang awal supaya borang dapat dibeli,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian.

Disiarkan pada: March 30, 2016 @ 9:02am
d