mutakhir

Mual tonton drama alih ke filem

Oleh Adam Salleh

Yang paling ditakuti ahli politik ‘silent protest.’ Depan nampak OK, tiba hari mengundi dipangkahnya musuh hakiki. Sindrom ‘silent protest’ atau protes secara senyap ini cukup bahaya jika menjadi budaya dan nampaknya sudah mulai berjangkit di televisyen.

Dua, tiga tahun lalu jika ada drama Melayu disiarkan di televisyen terus menjadi fenomena hinggakan dari episod awal hingga akhir, penonton fanatik yang seperti sudah kena ‘candu’ ini tidak mahu tercicir menontonnya walau satu episod pun.

Muktahir ini, semacam tidak meriah diperkatakan perihal drama tempatan. Impaknya tidak seperti dulu-dulu. Kalau ada pun yang komen, majoriti meluahkan emosi di media sosial tanpa berlapik kerana bosan dan menyampah mendengar judul drama kita yang meloyakan minda.

Benar atau tidak kita boleh menilai suatu ketika bukan saja drama Melayu mencetuskan fenomena, bahkan drama Korea (Winter Sonata), drama Filipina (Phang Nga Ko Sayo), telenovela Amerika Selatan (Maria Mercedes) dan sinetron Indonesia (Bawang Putih Bawang Merah).

Implikasi di sebalik protes senyap terhadap drama televisyen tanpa disedari memberi nafas baru buat ‘jantung’ filem berdegup kencang. Ini diperlihatkan dengan kutipan yang memberangsangkan untuk tiga bulan pertama 2016, empat filem tempatan mencatat lebih RM3 juta.

Melalui statistik dikeluarkan Unit Perlesenan & Wajib Tayang Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) semalam empat filem itu, dua selesai tayangan (Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit dan Ola Bola) dan dua lagi sedang ditayangkan (Munafik dan Boboiboy).

Filem Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit arahan bersama Pekin Ibrahim/Shafiq Yusof menjadi filem kedua ditayangkan pada tahun ini (14 Januari) di 102 pawagam dalam 26 hari tayangan mencatat kutipan RM4,392,141.80. Filem Mandarin, OlaBola arahan Chiu Keng Guan menjadi filem keempat ditayangkan mulai pada 28 Januari di 88 pawagam dalam 39 hari mencatat kutipan RM15,853,600.87.

Filem seram Munafik arahan Syamsul Yusof mula ditayangkan pada 25 Februari di 118 pawagam dalam masa 32 hari tayangan mencatat kutipan RM14,632,846.54 dan filem animasi BoboiBoy arahan Mohd Nizam Razak mula ditayangkan pada 3 Mac di 106 pawagam dalam masa 25 hari mencatat RM13,483,526.94. Hingga 17 Mac, sebanyak 14 filem tempatan sudah ditayangkan dengan kutipan kasar RM50,349.163.68.

Kutipan yang dinyatakan tidak termasuk tayangan di Singapura dan Brunei. Tahun lalu nyata begitu mengecewakan dengan 22 filem ditayangkan semuanya tidak mencatat kutipan RM300,000.00. Kecuali empat filem memberi sedikit kelegaan melebihi RM2 juta antaranya Suamiku Encik Perfect 10 (RM2.99juta), Vila Nabila (RM2.81juta), Cicakman 3 (RM2.56juta) dan Polis Evo (RM17.5 juta).

Awal 2015 dan awal 2016, satu perbandingan menarik untuk menilai penonton drama dan filem. Kita maklum dengan krisis melanda negara sama ada ekonomi terkaitlah masalah GST, mengeluh sana sini namun yang anehnya tiga filem yang ditayangkan awal tahun ini mencatat kutipan lebih RM10 juta. Apakah ini protes daripada penonton drama TV yang muak dengan cerita basi lalu mereka beralih selera ke filem?

Sekalipun medium filem dan drama sama, tetapi dalam beberapa aspek amat berbeza terutama pada jalan ceritanya. Shot dan ‘camera work’ filem dan drama juga berbeza, begitulah halnya pelakon drama belum tentu dapat menarik minat penonton filem. Penulis pernah menonton filem Balada Pencinta lakonan dua pelakon drama terkenal tetapi malangnya di pawagam ketika itu hanya ada dua penonton saja.

Menjaga identiti penting bagi pelakon untuk menarik penonton, lalu tidaklah hairan ada pelakon filem menggelak berlakon drama seperti Maya Karin, tidak terkecuali yang begitu selektif berlakon drama seperti Lisa Surihani, Zizan Razak, Nora Danish dan Shaheizy Sam

Mereka ini kelompok pelakon yang mempunyai magnet menarik penonton ke pawagam. Sebelum ini Rosyam Nor (Datuk), Umie Aida dan Erra Fazira terkenal sebagai pelakon filem dan mereka mempunyai ‘follower’ yang boleh menjamin filem mereka mendapat ‘box office.’

Apa yang berlaku selepas ketiga-tiga mereka ini mula beralih ke skrin TV, populariti sebagai pelakon filem pudar dek tiada eksklusif lagi. Berdasarkan kutipan memberangsangkan empat filem ditayangkan pada awal tahun ini, jelas sekali penonton sudah bijak menilai sesebuah filem, bahkan mereka dapat memahami apa itu ‘film making’ atau tata cara pembikinan filem bukan drama TV yang dipindah ke skrin filem.

Terkini filem seram Munafik yang sarat dengan ayat-ayat suci boleh dikategorikan berunsur Islam dapat diterima baik penonton dan masih ditayangkan dengan kutipan lebih RM15 juta. Filem Munafik ini bagaikan olah membawa penonton ke alam nyata dengan isu karma.

Dengan perubahan selera penonton sekarang, produser dan pengarah filem seharusnya meningkatkan lagi kreativiti menghasilkan produk lebih berkualiti bukan filem yang macam sampah bagi mengelak selera penonton filem berubah kerana menyampah.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Disiarkan pada: March 30, 2016 @ 8:50pm
d