mutakhir

Pelaburan emas 'hangus'

Oleh Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Impian seorang kakitangan swasta membeli emas untuk simpanan masa depan tidak kesampaian apabila mengalami kerugian sebanyak RM127,800 selepas mendakwa ditipu sebuah syarikat jual beli emas.

Menurut Mohd Nazri Bachok, 30, dia yang membeli emas dari sebuah syarikat beroperasi di Bandar Tenggara, Kulai, Johor, mendakwa bukan saja tidak mendapat wang itu semula malah kini terpaksa membayar pinjaman bank sebanyak RM4,000 sebulan untuk membeli kepingan emas seberat 900 gram itu.

“Saya mula menghubungi syarikat jual beli emas berkenaan pada 2012 selepas diperkenalkan seorang ahli keluarga di Johor.

“Saya mula mencari maklumat berkaitan syarikat berkenaan di laman sosial Facebook sebelum mengambil keputusan pergi ke syarikat itu sendiri di Kulai bagi mendapatkan kepastian mengenai urusan jual beli emas yang dilakukan mereka,” katanya kepada wartawan, di sini, semalam.

Nazri berkata, pemilik syarikat itu turut menunjukkan kepingan emas dijual kepada pelanggan selain menerangkan urusan mereka berlandaskan pelan syariah sepenuhnya.

“Namun, dalam pertemuan itu, saya masih belum membuat sebarang pembelian kerana perlu berbincang terlebih dulu dengan isteri yang berada di Sabah.

“Sebaik tiba di Sabah, saya kerap dihubungi syarikat berkenaan bagi meyakinkan saya untuk melakukan urusan jual beli emas itu termasuk tawaran hibah (keuntungan) yang akan diperolehi hasil simpanan emas di bank,” katanya.

Menurut Nazri, dia kemudiannya bersetuju membeli emas dari syarikat berkenaan selepas yakin dengan operasi mereka yang didakwa berlandaskan syariah.

“Saya kemudian membuat pinjaman bank bagi mendapatkan wang selain menggunakan simpanan peribadi untuk membeli emas.

“Dalam tempoh lapan hari, saya melakukan tiga transaksi wang berjumlah RM127,800 ke akaun syarikat berkenaan antara 21 hingga 29 Januari tahun lalu,” katanya.

Nazri berkata, selepas pembayaran dilakukan, semua urusan berjalan lancar termasuk pemberian resit pembelian.

“Saya turut menerima hibah sebanyak tiga kali berjumlah RM14,400 yang dimasukkan ke dalam akaun bank.

“Selang beberapa hari kemudian, pemilik syarikat terbabit menghubungi saya dan meminta saya memulangkan semula resit pembelian sebelum ini dengan alasan mahu mengeluarkan resit baru.

“Bagaimanapun, saya enggan memberikannya kerana itu adalah resit rasmi pembelian emas di syarikat itu,” katanya.

Nazri berkata, selepas pelbagai alasan diberikan, akhirnya pemilik syarikat mendakwa wang miliknya dilarikan individu lain dan berjanji memulangkannya.

“Selepas didesak beberapa kali, pemilik syarikat itu memberitahu urusan jual beli emas itu adalah satu bentuk pelaburan dan wang saya dianggap ‘hangus’ sekali gus mereka enggan membayar ganti rugi,” katanya.

Hairan dengan alasan itu kerana tidak pernah diterangkan mengenai sebarang bentuk pelaburan, Nazri terus mendesak syarikat terbabit memulangkan wangnya semula, namun gagal.

Bukan itu saja, Nazri mendakwa turut disekat daripada menghubungi pihak syarikat terbabit sama ada menerusi telefon dan Facebook.

Selepas percaya syarikat terbabit mahu menipunya dan cuba melarikan diri tanpa sebarang ganti rugi, Nazri kemudian bertindak membuat laporan polis dan mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat itu.

“Saya turut melakukan siasatan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mendapatkan maklumat syarikat itu dan ternyata jenis perniagaan dilakukan adalah jual beli emas bukannya pelaburan.

“Tidak lama selepas itu, pemilik syarikat itu menghubungi saya semula selepas menerima notis tuntutan peguam. Namun dia bertindak memarahi dan mengugut saya untuk saman malu sekiranya saya tidak menarik semula tuntutan notis berkenaan.

“Malah pemilik syarikat itu mengugut mahu melakukan sesuatu yang lebih teruk sekiranya saya tidak menarik semula notis tuntutan yang difailkan,” katanya.

Nazri berkata, ramai pembeli mengalami nasib sama sepertinya, tetapi mereka enggan mengambil tindakan perundangan terutamanya selepas memulangkan resit pembelian kepada syarikat terbabit.

Disiarkan pada: March 31, 2016 @ 9:12am
d