mutakhir

Mandi cuaca panas bertukar tragedi

Oleh myMetro

Gombak: Kegembiraan empat pelajar mandi dan berenang di sebuah tasik berikutan cuaca panas dialami semalam, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas.

Mangsa, K Raveen Raj, 13 tahun, dikatakan baru sahaja selesai menghabiskan aktiviti kokurikulum di sekolah sebelum mandi di tasik terletak di Bandar Country Homes, Rawang di sini, sekitar jam 12 tengah hari semalam.

Mayat mangsa bagaimanapun berjaya ditemui anggota Bomba dan Penyelamat Rawang di dasar tasik sedalam tiga meter jam 1.35 petang semalam.

Saksi kejadian Azman Harun, 37, berkata, dia melihat sekumpulan remaja mandi di tasik itu semasa cuaca panas.

“Mereka terjun mandi ke tasik dari atas jambatan sebelum saya mendengar jeritan salah seorang remaja itu mendakwa rakannya lemas,” katanya ketika ditemubual Harian Metro.
Beliau yang menyangkakan ia satu gurauan tidak mengambil serius perkara itu sebelum orang ramai mengerumuni kawasan itu dan mencari mangsa.

Azman memberitahu, anggota bomba tiba kira-kira 12 tengah hari sebelum melakukan usaha mencari dan menyelamatkan mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rawang Halim Abu Hassan berkata, mangsa ditemui hampir satu setengah jam kemudian.
Menurutnya, semasa ditemui mangsa dalam keadaan berseluar pendek dan tidak berbaju.

Difahamkan tasik itu menjadi tumpuan kanak-kanak dan remaja mandi manda biarpun ia kawasan larangan berikutan air tasik itu yang tidak mengalir serta bertakung.
Halim memberitahu mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: March 31, 2016 @ 9:46am
d