mutakhir

RM70 juta cuci tandas

Oleh Ainul Fatihah Mansor

Dengkil: PLUS Expressway Berhad (PLUS) membelanjakan kira-kira RM70 juta setiap tahun untuk menyelenggara semua tandas awam di sepanjang rangkaian lebuh rayanya bagi membantu pengguna menikmati perjalanan selesa.

Ketua Pegawai Operasinya Mohammad Fuad Khusairi berkata, penyelenggaraan tandas awam di rangkaian lebuh raya PLUS adalah tugas mencabar kerana ia digunakan oleh purata 1.6 juta pengguna kenderaan setiap hari.

Beliau berkata, ketika ini PLUS menyediakan tandas awam di 24 kawasan rehat dan rawat (R&R); 46 hentian sebelah; empat restoran jejantas dan 83 di hentian berbeza plaza tol yang perlu diselenggara 24 jam sehari.

“Secara keseluruhannya PLUS perlu menyelenggara lebih 3,800 kubikel tandas, termasuk untuk orang kurang upaya (OKU) dan tandas keluarga serta bilik mandi.

“Berdasarkan aset ini, satu pelan penyelenggaraan yang teliti disediakan bagi memastikan semua kemudahan tandas awam di lebuh raya berada dalam keadaan terbaik dan pengguna menikmati perjalanan selesa,” katanya pada sesi taklimat penyelenggaraan tandas awam di lebuh raya kepada media di sini, semalam.

Mohammad Fuad berkata, kerja penyelenggaraan tandas awam di lebuh raya PLUS merangkumi penyelenggaraan rutin; pembaikan dan pencegahan.

Katanya, formula kebersihan tandas awam juga membabitkan rejim penyelenggaraan berkala termasuk aspek seperti meletakkan penanda aras, kekerapan penyelenggaraan, mekanisme pembersihan, kelengkapan peralatan serta pemantauan pemeriksaan secara jam, harian mingguan dan bulanan.

“Selain itu, PLUS juga memperkenalkan program Akademi Pembersihan Tandas (DSP) kepada seluruh kakitangan penyelenggaraan untuk menambah baik kualiti dan tahap perkhidmatan secara konsisten dan berterusan.

“Menerusi DSP yang diadakan dua kali setahun, pihak pengurusan akan melatih pekerja lama dan baru untuk mencuci tandas dengan sempurna,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan pelan penyelenggaraan dapat dijalankan dengan lancar, kira-kira 2,700 kakitangan penyelenggaraan ditugaskan setiap hari dan jumlah itu akan ditambah menjelang musim perayaan serta cuti hujung minggu.

“Bagaimanapun daripada 2,700 pekerja penyelenggaraan, hanya 20 peratus saja terdiri daripada masyarakat tempatan, manakala selebihnya adalah pekerja asing.

“Kita sentiasa mengalu-alukan pembabitan pekerja tempatan tetapi kini pekerjaan ini seolah-olah tidak mendapat tempat di hati mereka terutamanya pekerja perempuan,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2016 @ 9:58am
d